Azmin kembali jadi MB jika PN menang PRN Selangor?

Zulkafperi dan Azmin Ali
Zulkafperi dan Azmin Ali
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Perikatan Nasional (PN) tidak menolak kemungkinan mencalonkan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk menerajui semula kerajaan negeri sekiranya berjaya menawan Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan pada tahun ini.

Timbalan Pengarah Jentera Pilihan Raya PN Selangor, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi berkata, peluang sentiasa terbuka kepada bekas Menteri Besar Selangor itu untuk kembali memimpin Selangor.

Bagaimanapun, katanya, segala kemungkinan itu terserah kepada kebijaksanaan kepimpinan PN untuk menentukan calon terbaik menjawat jawatan nombor satu peringkat negeri itu.

"Peluang sentiasa terbuka kepada (Mohamed Azmin) dan kalau beliau berjaya menang di peringkat DUN (Dewan Undangan Negeri) dan membantu kemenangan kita di Selangor, insya-ALLAH dengan segala pengalaman yang ada membangunkan Selangor, beliau mampu ke arah itu," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Bagaimanapun, Zulkafperi mengakui, Mohamed Azmin yang juga Ketua Penerangan PN berdepan tugas berat untuk mempertahankan kerusi DUN Bukit Antarabangsa yang dimenangi beliau semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

"Kerusi DUN (Bukit Antarabangsa) dijangka sengit kerana pengundi Melayu di sana tidak sampai 50 peratus dan ia tentulah sukar tetapi pengaruh beliau mampu menarik sokongan pengundi.

"Kita juga tidak menolak kemungkinan sama ada Mohamed Azmin kekal di (DUN) Bukit Antarabangsa atau memilih kerusi DUN lain yang mungkin berpihak kepada kemenangan PN," kata beliau.

Ditanya tentang peluang PN untuk menang pada PRN Selangor, Zulkafperi berkata, pada masa ini kesiapsiagaan jentera PN berada pada tahap terbaik dan yakin mampu memperoleh sekurang-kurangnya 33 kerusi DUN sekali gus membentuk kerajaan negeri.

"Saya yakin dengan penyatuan ummah antara Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan Pas ini kita mampu menawan negeri Selangor.

"Kita mahu gelombang orang Melayu diteruskan dan memberi sokongan kepada PN dan menolak PH (Pakatan Harapan) dan BN (Barisan Nasional).

"Saya dapat melihat dalam media sosial, ramai anak muda menyokong PN lebih-lebih lagi dengan kemelut yang berlaku dalam UMNO," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!