Bayern pinjam Cancelo dari City

Cancelo
Cancelo
A
A
A

PENYANDANG juara Bundesliga Jerman, Bayern Munich telah menandatangani bek sayap, Joao Cancelo dengan perjanjian pinjaman daripada Manchester City bagi baki saingan musim ini dengan pilihan untuk membeli pemain Portugal itu.

Ketibaannya melengkapkan trio pemain musim sejuk untuk Bayern yang akan menentang Paris St Germain (PSG) dalam pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara dalam masa dua minggu selepas penjaga gol, Yann Sommer dan pertahanan, Daley Blind.

Menurut pengurusan Bayern keputusan membawa masuk beberapa pemain itu adalah untuk menggantikan penjaga gol Manuel Neuer yang cedera dan pemain pertahanan Lucas Hernandez dan Noussair Mazraoui.

Cancelo membuat 16 permulaan liga untuk City musim ini tetapi tidak bermain untuk kelab itu sejak kekalahan derbi mereka kepada Manchester United awal bulan ini selepas terlepas tiga perlawanan terakhir.

Dia hanya memulakan tiga daripada 10 perlawanan selepas rehat Piala Dunia setelah posisinya diganti Nathan Ake manakala Rico Lewis yang berusia 18 tahun turut menjadi pemain pilihan Pep Guardiola musim ini.

“Keputusan saya ada kaitan dengan masa bermain yang sedikit sejak beberapa minggu kebelakangan ini. Terdapat spekulasi bahawa hubungan saya dengan (jurulatih Manchester City) Pep (Guardiola) bukanlah yang terbaik tetapi hakikatnya saya mahu bermain lebih banyak perlawanan.

“Saya mahu memulakan pengembaraan baharu ini secepat mungkin dan menikmati masa di City. Saya masih ada baki kontrak dengan kelab, jadi saya tidak lihat ini sebagai perlepasan terakhir.

"Tumpuan saya kini untuk fokus dalam masa lima bulan ini dan lihat apa yang berlaku selepas itu,” kata Cancelo pada sidang akhbar.

Cancelo sebelum ini memainkan peranan penting buat City sejak ketibaannya pada 2019 dengan meraih dua kejuaraan liga selain disenaraikan dalam Pasukan Terbaik Liga Perdana Inggeris dua musim lalu.

Sementara itu, pengarah sukan Bayern, Hasan Salihamidzic menjelaskan pasukan berkemungkinan menandatangani Cancelo secara kekal pada musim panas.

“Joao adalah pemain yang kami fikirkan sejak sekian lama kerana kami sangat menghargai kualitinya. Dia adalah yang paling sesuai dalam sistem kami dengan gaya permainan menyerang, mentaliti dan pengalamannya yang sangat sesuai dalam pasukan.

“Kami kini telah membawa masuk Sommer, Daley Blind dan Joao. Kami meliputi tiga posisi itu dan berharap untuk mempunyai kedalaman dalam skuad kami yang diperlukan untuk mencapai matlamat kami,” katanya.

Bayern mendahului Bundesliga, namun gagal melakarkan kemenangan sejak saingan dimulakan selepas Piala Dunia dengan melakarkan tiga keputusan seri dan pendahuluan liga ke atas Union Berlin telah dipotong kepada satu mata.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!