26 PATI ditahan dalam Operasi Bersepadu ESSCom
KOTA KINABALU - Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) terus giat menjalankan operasi mengekang jenayah rentas sempadan melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sandakan.
Komander ESSCom, Datuk Hamzah Ahmad berkata, Operasi Bersepadu yang dilaksanakan bermula 25 Januari hingga Khamis lalu menyasarkan lokasi yang dikenal pasti sebagai penempatan PATI di sekitar Sandakan.
Katanya, kehadiran PATI dibimbangi boleh menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara, ketenteraman awam dan kesejahteraan masyarakat khasnya di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone).
"Hasil pemeriksaan sepanjang tempoh tujuh hari operasi, sebanyak 410 rumah di 12 lokasi diperiksa dan seramai 26 PATI telah ditahan mengikut peruntukan Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 sebelum diusir pulang ke negara asal.
"Jumlah nilai rampasan sebanyak RM16,951 di mana batang kayu disyaki jenis tangar bulat menyumbang kepada nilai rampasan tertinggi serta barangan terkawal yang lain.
"Operasi memotong sambungan elektrik secara haram turut dijalankan di sekitar lokasi tersebut," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Katanya lagi, ESSCom akan terus mempergiatkan operasi seumpama ini bagi mengekang sebarang elemen yang boleh mengganggu keselamatan dan kesejahteraan awam.
"Justeru, ESSCom menyeru seluruh masyarakat supaya menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di ESSZone ke Pusat Operasi ESSCom di talian 089-863 181 atau melalui aplikasi WhatsApp di nombor 011-63311072," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!