Kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan meningkat

Jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan bagi setiap 100,000 penduduk meningkat 6.3 peratus pada Minggu Epidemiologi keempat 2023 (ME 4/2023) dari 22 hingga 28 Januari, berbanding minggu sebelumnya. - Gambar hiasan
Jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan bagi setiap 100,000 penduduk meningkat 6.3 peratus pada Minggu Epidemiologi keempat 2023 (ME 4/2023) dari 22 hingga 28 Januari, berbanding minggu sebelumnya. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan bagi setiap 100,000 penduduk meningkat 6.3 peratus pada Minggu Epidemiologi keempat 2023 (ME 4/2023) dari 22 hingga 28 Januari, berbanding minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 populasi pada ME 4/2023 berbanding ME 3/2023 pula mencatat peningkatan 20 peratus bagi pesakit kategori satu dan dua manakala pesakit kategori tiga hingga lima tiada perubahan.

"Namun, peratus pengisian katil fasiliti Covid-19 pada ME 4/2023 berbanding ME 3/2023 bagi katil bukan kritikal menurun satu peratus dan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) juga menurun satu peratus,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, kes positif Covid-19 yang dipantau Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara menunjukkan penurunan, namun bilangan kes Covid-19 yang dirujuk CAC ke hospital meningkat 84.6 peratus.

Selain itu, dari 25 Januari 2020 (ME 4/2020) hingga 28 Januari 2023 (ME 4/2023), kumulatif kes baharu Covid-19 ialah 5,035,871 kes, kumulatif kes sembuh (4,989,819), purata kes aktif (9,478), kumulatif kes kematian (36,940) dan kumulatif kluster sebanyak 7,170 dengan lima kluster aktif.

Dr Noor Hisham memaklumkan, bilangan kes sembuh pada ME 4/2023 menurun 35.3 peratus (2,088 kepada 1,350 kes), bilangan kes baharu menurun 8.5 peratus (2,379 kepada 2,177 kes) manakala bilangan kes kematian menurun 66.7 peratus (24 kepada 8 kes).

Sementara itu, nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) pada ME 4/2023 ialah 0.82, katanya.

Hasil survelan Covid-19 di lokasi sentinel seluruh negara mendapati 19 sampel Penyakit Seperti Influenza (ILI) dikesan positif Covid-19 manakala tiada sampel Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) dikesan positif Covid-19.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam dan luar negara melalui maklumat diperoleh daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pihak berkuasa negara-negara serantau selain memastikan agar langkah pencegahan dan kawalan sewajarnya dilaksanakan secara berterusan. - Bernama

Ikuti perkembangan semasa mengenai Covid-19 di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!