Astro, RTM penyiar rasmi Liga Malaysia

Ab Ghani (kiri), Stuart Ramalingam
Ab Ghani (kiri), Stuart Ramalingam
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan stesen televisyen Astro dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) selaku rakan penyiar rasmi Liga Malaysia (Liga-M) 2023.

Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, kehadiran Astro dan RTM bakal menambah kemeriahan musim baharu Liga-M 2023 yang akan bermula 24 Februari depan dengan aksi pembuka tirai Perlawanan Sumbangsih di antara Johor Darul Ta'zim (JDT) menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim.

"Saya percaya, dengan sokongan dan komitmen rakan penyiar tempatan, ia bukan hanya demi kepuasan kualiti tontonan peminat-peminat tanah air.

"Ia juga dapat meningkatkan nilai komersial Liga Malaysia yang akhirnya akan memberikan pulangan besar buat pasukan serta pemain," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Semua perlawanan yang akan disiarkan oleh Astro dalam definisi tinggi (HD) meliputi Perlawanan Sumbangsih, Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia boleh di tonton di platform linear (TV), On Demand dan Astro GO.

Manakala, RTM pula akan menyiarkan secara langsung 75 perlawanan Liga Malaysia 2023 merangkumi beberapa saingan termasuk Perlawanan Sumbangsih, Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia menerusi saluran TV2, Sukan RTM dan TV Okey serta penstriman langsung melalui aplikasi RTMKlik.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam melihat gandingan Astro dan RTM selaku rakan penyiar Liga-M musim ini bakal memenuhi kehendak peminat-peminat tempatan yang mahukan satu liputan menyeluruh dan menarik.

"MFL percaya dua rakan penyiar ini berkongsi objektif dan fokus mengenai kandungan yang penting jadi kami telah menemui rakan kongsi terbaik untuk membina semula jenama dan impak Liga Malaysia ke tahap lebih tinggi.

"Dengan kepakaran dan pengalaman yang dimiliki Astro dan RTM dalam bidang penyiaran sukan, kami berharap ia dapat memenuhi jangkaan dan harapan semua peminat-peminat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!