Air Selangor pergiat kerja penggantian paip di lokasi kritikal
SHAH ALAM - Syarikat Air Selangor (Air Selangor) mempergiatkan beberapa inisiatifnya menjelang tahun 2023 dengan tumpuan kepada kerja-kerja penggantian paip di lokasi kritikal seperti di wilayah Gombak dan Petaling.
Air Selangor memaklumkan syarikat itu juga akan terus bekerjasama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk program kesedaran pemuliharaan air dalam kalangan orang awam.
Menurut kenyataan, dengan baki tujuh tahun lagi untuk merealisasikan visi 2030 untuk menjadi penyedia perkhidmatan terunggul di Asia, Air Selangor juga merekodkan pelbagai pencapaian pada tahun 2022.
'Ini termasuk dari segi operasi dan perjalanan pengalaman pelanggan serta inisiatif berterusan dengan komuniti dalam mengatur langkah syarikat untuk mara ke hadapan pada 2023 dan seterusnya.
“Pada tahun 2022, kami berdepan dengan pelbagai cabaran, bermula dengan fasa endemik Covid-19 pada April hingga pelarasan tarif air untuk pengguna bukan domestik dan kategori khas pada Ogos,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu, menurut kenyataan sama, Air Selangor akan terus memastikan Setiap Titis Bermakna kepada 9.1 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Beberapa pencapaian kami pada tahun lalu adalah termasuk berjaya melaksanakan kerja-kerja penggantian rangkaian paip lama sepanjang 77.2 kilometer (km).
“Selain itu, mencapai Indeks Paip Pecah (PBI) sebanyak 5.35 kes paip pecah setiap 100 km lebih rendah daripada penanda aras antarabangsa PBI sebanyak 13 kes paip pecah setiap 100 km,” ujarnya.
Tambah kenyataan itu katanya, Air Selangor merancang untuk memberi fokus kepada kecemerlangan operasi melalui kerja-kerja penggantian paip dengan menyiapkan sepanjang 110km dan menumpukan proses penggantian paip usang yang kritikal.
“Rancangan inisiatif bagi tahun 2023 juga meliputi margin rizab air yang mencapai sasaran 19.8 peratus dengan penyiapan Koridor Utara Langat 2 oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) pada Disember 2023.
“Air Selangor juga mahu menyelesaikan pemulihan empat kolam takungan yang tidak digunakan serta menyelesaikan pemulihan dan naik taraf 10 rumah pam,” katanya.
Katanya lagi, Air Selangor akan terus memacu kemajuan yang telah dibina dan terus komited terhadap usaha pihaknya dengan mengaplikasikan piawaian kecemerlangan tertinggi pada setiap aspek.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!