Keluarga miskin sambut baik hasrat KPT taja pengajian percuma
JOHOR BAHRU – “Alhamdulillah... kami sangat gembira bila dapat tahu ada program seperti ini..terima kasih,”
Itu reaksi daripada sebuah keluarga di Kampung Ulu Pulai, Gelang Patah dekat sini berhubung hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang bakal memperkenalkan program penajaan pengajian percuma kepada generasi pertama keluarga miskin yang berjaya memasuki universiti.
Muhammad Ja’afar,70, menyifatkan perkara itu satu perancangan yang baik dan mengharapkan ia dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.
Malah katanya, program penajaan itu bakal membantu lebih ramai pelajar terutamanya daripada golongan miskin untuk melanjutkan pengajian hingga ke peringkat tertinggi kelak.
“Bila dapat tahu ada program macam ini, memang saya setuju sangatlah...saya ni dah masuk golongan asnaf, tak ada kemampuan.
“Program ini akan dapat membantu anak saya, Muhammad Shamiel, 17, yang sekarang belajar di Tingkatan Lima.
“Walaupun dia merupakan anak angkat yang saya jaga sejak lahir, namun memang besar harapan saya dan isteri nak tengok dia berjaya belajar sampai ke universiti... nak harapkan kami memang tak mampu,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Isnin mengumumkan bahawa KPT bakal memperkenalkan program penajaan pengajian percuma kepada pelajar generasi pertama keluarga miskin yang berjaya memasuki universiti.
Muhammad yang sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan terpaksa berhenti kerja empat tahun lalu akibat jangkitan kuman pada mata sebelah kanan turut menyukarkannya untuk mendapatkan pekerjaan.
“Sebelum kerja jadi ‘jaga’ ni, saya jadi nelayan..sekarang saya dah tak bekerja dan hanya bergantung kepada bantuan pihak baitulmal dan juga JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat)...dengan bantuan itu jugalah yang bantu isteri saya (isteri kedua) ini buat rawatan dialisis.
“Dengan isteri pertama dulu saya ada dua anak perempuan dan kedua-dua mereka sudah pun berkahwin,” katanya.
Sementara itu, isterinya, Suhaila Salihin, 50, mahu Muhammad Shamiel membuat keputusannya sendiri untuk memilih jurusan yang mahu diikutinya sekiranya dapat meneruskan pengajian di universiti kelak.
Katanya, dia tidak mahu mengganggu fokus anaknya itu kerana mahu memastikan Muhammad Shamiel berjaya menamatkan pengajian dan mendapat pekerjaan yang baik.
“Apa yang saya tahu, anak saya ini minat dalam matematik dan selalu diminta oleh guru di sekolah untuk membantu rakan-rakannya yang lain.
“Tapi bagi saya, biarlah dia pilih nak belajar apa...ikut apa yang dia minat. Dapat masuk universiti pun saya dah bersyukur sangat, tambah pula bila ada program tajaan macam ni,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!