Kelantan United FC teruskan rentak positif

Tomas Trucha - Foto FB KELANTAN UNITED FC
Tomas Trucha - Foto FB KELANTAN UNITED FC
A
A
A

PENGENDALI Kelantan United FC, Tomas Trucha memuji barisan pemainnya selepas berjaya mengikat Kuala Lumpur (KL) City FC 0-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Cheras pada Selasa.

Menurutnya, ia satu keputusan yang baik buat pasukan pantai timur itu dalam usaha memperkemaskan rentak pasukan menjelang saingan Liga Malaysia (Liga-M).

"Menentang kelab yang dibina dengan teratur seperti KL City FC membolehkan saya melihat bagaimana pemain menyesuaikan diri dengan latihan taktikal.

"Saya juga dapat melihat tahap kecergasan pemain dan mengetahui dengan jelas di mana aspek yang perlu mereka pertingkatkan," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook Kelantan United FC pada Rabu.

Kemenangan itu meneruskan rentak positif Kelantan United FC selepas satu keputusan seri dan tewas menentang Terengganu FC selain mencatatkan kemenangan ke atas Negeri Sembilan Sabtu lalu.

Trucha berkata, pemain telah menunjukkan kerja berpasukan, sikap dan disiplin yang amat baik terutama dalam dua perlawanan terakhir.

"Bagaimanapun, semua itu masih perlu dipertimbangkan bahawa perlawanan itu adalah sebahagian daripada aksi pra musim.

"Masih banyak perlu diperbaiki terutamanya pada bahagian ofensif permainan. Saya mahu lebih penguasaan pada bola, lebih banyak hantaran ke kawasan jaringan seterusnya percubaan yang mampu menambah peluang untuk menjaringkan gol," katanya.

Aksi seterusnya, Kelantan United FC akan berdepan PDRM FC di Stadium Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya pada Khamis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!