Pekerja pembersihan sambut baik pengajian percuma
SABAK BERNAM - Dua pekerja pembersihan menyokong penuh usaha kerajaan memperkenalkan program penajaan pengajian percuma kepada pelajar generasi pertama keluarga miskin yang menyambung pengajian ke peringkat universiti.
Siti Haliza Yahya, 50, dari Sungai Besar berkata, usaha itu disambut baik bagi memastikan golongan siswazah tidak menanggung beban hutang apabila tamat pengajian di universiti.
Siti Haliza berkata, mengambil contoh seorang anak lelakinya yang menamatkan pengajian peringkat ijazah dari sebuah universiti masih tidak mempunyai pekerjaan tetap sejak setahun lalu.
"Anak saya terpaksa bekerja sementara sebagai penghantar makanan untuk meneruskan kehidupan di samping perlu menjelaskan hutang pengajian lebih daripada RM20,000," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Rabu.
Siti Haliza yang juga ibu tunggal berkata, berdasarkan situasi dihadapi anaknya itu, dia berharap perkara sama tidak berulang kepada anak keempatnya yang kini melanjutkan pengajian di sebuah universiti tempatan.
Jelasnya, anaknya yang menuntut tahun pertama memerlukan perbelanjaan tinggi kerana pada masa ini hanya bergantung kepada sumbangan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS).
"Saya berterima kasih dan bersyukur jika kerajaan menanggung sepenuhnya yuran pengajian universiti kerana ia dapat meringankan beban kami yang kurang berkemampuan tetapi besarlah harapan kami ingin melihat anak menuntut ilmu hingga ke menara gading," jelasnya.
Seorang lagi rakannya, Noorhayati Mohd Sibun, 59, dari Sungai Besar, berkata, cadangan kerajaan itu amat dialu-alukan terutama dalam memberi galakan kepada anak-anak B40 untuk meneruskan pengajian meskipun kurang berkemampuan.
Jelasnya, pada masa ini, dia dan suami berusaha keras untuk membayar yuran pengajian anaknya yang menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Seremban.
Katanya, anak perempuannya yang berusia 19 tahun itu kini di peringkat diploma dan mereka tidak bercadang untuk membuat pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
"Mungkin anak saya mula membuat pinjaman PTPTN apabila menyambung pengajian peringkat ijazah kerana tidak mahu dia menanggung beban hutang terlalu banyak selepas tamat pengajian nanti," katanya.
Dalam pada itu, Penaung dan Penasihat Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Daerah Sabak Bernam, Dr Mohd Hisham Surgi berkata, langkah yang bakal diperkenalkan kerajaan itu dianggap sebagai sumbangan terbesar kepada anak-anak B40 yang mungkin selama ini keciciran untuk mendapatkan peluang dan akses pendidikan percuma.
Jelas beliau, dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi pada masa ini, sudah tentu golongan B40 antara paling terkesan lebih-lebih lagi dengan bayaran yuran pengajian universiti yang tinggi.
"Kita tahu bahawa yuran pengajian di peringkat diploma sekitar RM20,000, manakala ijazah dan ke atas lebih RM30,000 tentulah ia membebankan lebih-lebih lagi mereka mempunyai tanggungan anak lain yang masih bersekolah atau masih menuntut di universiti," jelasnya.
Sementaara itu, Penasihat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Daerah Sabak Bernam, Kamaruzaman Mat Sani berkata, langkah kerajaan itu sudah tentu memberi khabar gembira buat golongan B40 yang mahu anak-anak mereka turut berjaya dalam pendidikan.
Beliau berkata, negara sudah tentu memerlukan generasi berilmu untuk kepentingan generasi seterusnya sekali gus membina negara ke tahap tertinggi.
Ujarnya, kebanyakan pemimpin yang ada pada masa sekarang menerima pendidikan sempurna hasil dasar yang diperkenalkan kepimpinan terdahulu.
"Sudah sampai masanya pemimpin masa ini membuat perancangan jelas bagaimana usaha yang boleh dilakukan bagi membantu anak bangsa untuk berjaya dalam bidang pendidikan," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!