Mayat lelaki OKU mental ditemukan terapung di Sungai Melaka

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA - Mayat lelaki dipercayai orang kurang upaya (OKU) mental ditemukan terapung di Sungai Melaka di Kampung Morten di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata mangsa, Lim Tee Siang, 38, ditemukan pemandu bot Melaka River Cruise kira-kira 11.25 pagi tadi sebelum memaklumkan kepada pihak polis.

"Bertindak atas maklumat berkenaan, sepasukan polis dari Balai Polis Melaka Tengah bergegas ke tempat kejadian dan menjumpai mayat mangsa terapung di Sungai Melaka dengan muka terlungkup di permukaan air.

"Mayat mangsa hanyut di tepi Sungai Melaka dalam keadaan berpakaian lengkap berbaju dan berseluar serta berselipar," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan awal ke atas mayat mendapati tiada kesan perbuatan jenayah kelihatan pada fizikal selain mangsa dipercayai baru meninggal dunia.

Katanya, bapa mangs,a Lim Seng Fok, 72, mengesahkan mayat yang ditemukan itu adalah anaknya yang mempunyai masalah mental dan baharu semalam keluar dari Hospital Melaka untuk menjalani rawatan penyakit dihidapinya itu.

Christopher berkata, bapa mangsa turut memaklumkan lokasi mayat anaknya itu ditemukan kira-kira 100 meter dari restorannya di Pengkalan Rama di sini.

"Bapa mangsa memaklumkan anaknya itu berada di restorannya pada waktu pagi sebelum kejadian dan keluar bersiar-siar di tepi Sungai Melaka dan dia tidak mengesyaki sebarang perbuatan jenayah berlaku ke atas anaknya itu," katanya.

Katanya, mayat dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat selepas keputusan ujian saringan COVID-19 diperoleh. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!