Syor masa jualan gudang sehingga 9 malam

Para pengunjung memilih bahan bacaan pada Jualan Gudang Karangkraf, pada Rabu. - Gambar kecil: Shahzalyza (kiri), Farhana Aqilah
Para pengunjung memilih bahan bacaan pada Jualan Gudang Karangkraf, pada Rabu. - Gambar kecil: Shahzalyza (kiri), Farhana Aqilah
A
A
A

SHAH ALAM - Para pengunjung di Jualan Gudang Karangkraf 2023 mengakui tidak jemu memeriahkan 'pesta buku' berkenaan bagi mendapatkan pelbagai bahan bacaan yang ditawarkan.

Perkara itu diakui oleh seorang pengunjung, Farhana Aqilah Aqiludeen, 28, yang berkali-kali berkunjung ke jualan gudang itu sejak ia beroperasi pada Jumaat.

“Saya begitu teruja dengan jualan yang diadakan ini kerana hampir semua buku yang dipromosikan di sini adalah berkualiti dan harganya juga murah. Oleh itu, saya akan datang lagi pada petang ini dan membawa anak-anak.

“Saya ingin datang lagi kerana terdapat pelbagai aktiviti menarik yang diadakan sepanjang jualan ini berlangsung dan antaranya adalah seperti pertandingan mewarna, cabutan bertuah dan banyak lagi,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Farhana Aqilah berharap, jualan gudang itu dapat ditambah baik dari segi waktu operasi agar dapat memberikan peluang kepada para pengunjung yang bekerja untuk turut hadir.

“Jualan ini hanya berlangsung sehingga jam 7 malam dan hal ini memberikan sedikit kesukaran kepada orang ramai yang bekerja untuk berkunjung ke jualan gudang.

“Saya berharap, pada masa akan datang, ia akan dilanjutkan sehingga jam 9 malam bagi memudahkan golongan yang bekerja untuk datang selepas habis waktu bekerja,” katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung, Shahzalyza Mohd Arip, 39 berkata, dia akan datang lagi ke jualan itu kerana anak-anak gemar membaca.

“Saya datang hari ini adalah kerana anak-anak saya yang gemar membaca. Mereka juga memborong pelbagai jenis buku yang terdiri daripada buku latihan, komik dan banyak lagi,” katanya.

Beliau berkata, penambahbaikan yang dapat dilakukan bagi jualan yang seterusnya adalah dengan memperbanyakkan buku untuk golongan kanak-kanak.

“Buku yang berbentuk pembelajaran dapat diperbanyakkan pada masa akan datang agar dapat menarik minat kanak-kanak untuk terus membaca dan belajar,” ujarnya.

Balqis Nailurahmah dan Dayang NurSofea ketika mengunjung Jualan Gudang Karangkraf 2023 pada Rabu.
Balqis Nailurahmah dan Dayang NurSofea ketika mengunjung Jualan Gudang Karangkraf 2023 pada Rabu.

Bagi pelajar Universiti Malaysia, Balqis Nailurahmah Subroto dan Dayang NurSofea Abg Mohammad Nil Asri, yang masing-masing berumur 19 tahun, tidak akan melepaskan peluang untuk mendapatkan koleksi buku-buku yang diingini.

“Kami berdua datang ke sini selepas melihat iklan dalam media sosial. Kami begitu teruja kerana hampir semua buku yang kami ingini, dapat diperolehi di sini.

“Kami juga sudah mengajak rakan-rakan yang lain untuk datang pada hujung minggu ini kerana terdapat pelbagai buku-buku yang menarik sekali gus dapat mengisi masa lapang kami semasa berada di universiti dengan membaca,” kata mereka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!