Ugut hukuman mati di atas 'kerusi elektrik'
TEL AVIV - Menteri 'ekstremis' Israel, Itamar Ben-Gvir mengancam penduduk Palestin dengan hukuman mati di atas 'kerusi elektrik' susulan konflik yang semakin meningkat di wilayah Tebing Barat dan Baitulmaqdis.
"Sesiapa yang membunuh dan mencederakan orang awam wajar dihukum sedemikian," katanya ketika menghadiri mesyuarat parti selepas beliau berjanji untuk memastikan Knesset (Parlimen) meluluskan bentuk hukuman seperti itu terhadap penduduk Palestin yang melancarkan tindakan balas dendam dan menyerang anggota rejim Zionis dan pendatang Yahudi.
Menteri Keselamatan Negara itu turut melaksanakan perintah berkurung di kawasan kejiranan Palestin yang kononnya menimbulkan ancaman kepada Israel.
Ugutan itu dibuat selepas Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu berikrar untuk bertindak balas dengan lebih tegas susulan situasi yang semakin tegang di Tebing Barat dan Baitulmaqdis.
Kabinet beliau yang terdiri daripada kumpulan ahli politik paling berhaluan kanan juga memutuskan untuk mempercepatkan pengeluaran permit senjata api kepada penduduk Israel atas alasan mempertahankan diri mereka.
Sejak minggu lalu, konflik di kedua-dua wilayah itu semakin meruncing setelah rejim Zionis melancarkan serbuan ganas di bandar Jenin dan kem pelarian di utara Tebing Barat hingga meragut nyawa sembilan penduduk Palestin. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!