Ismail Sabri luang masa ziarah bekas wartawan hiburan

Ismail Sabri (kiri) berbual dengan Rosli (dua dari kiri) ketika berkunjung ke rumah bekas wartawan hiburan itu, pada Rabu.
Ismail Sabri (kiri) berbual dengan Rosli (dua dari kiri) ketika berkunjung ke rumah bekas wartawan hiburan itu, pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluangkan masa menziarahi bekas wartawan hiburan tersohor, Rosli Manah, 55, di kediamannya di Kajang, pada petang Rabu.

Rosli yang pernah menabur bakti lebih 26 tahun di Kumpulan Utusan (Melayu) Malaysia Berhad, kini diuji dengan masalah kesihatan.

Ismail Sabri meluangkan masa hampir sejam berbual dengan Rosli dan isterinya Asma Ghani serta dua orang anaknya, Aasif Esfan, 26, dan Daniel Ashman, 18, sementara anak sulung Rosli, Dean Ilham, 27, keluar bekerja.

Ahli Parlimen Bera itu secara peribadi mengenali Rosli sebagai wartawan hiburan pada tahun 2007 dan menjadi akrab selepas beliau banyak membantu karier seni anak Ismail Sabri, Dafi yang pernah menempa kemasyhuran menerusi program realiti Akademi Fantasia (AF).

Sejak Kumpulan Utusan ditutup pada tahun 2018, Rosli melakukan pelbagai pekerjaan untuk menyara hidup keluarganya.

Turut mengiringi Ismail Sabri ialah Pengarah Media dan Komunikasi Strategik beliau, Datuk Ruhaidini Abd Kadir dan Setiausaha Akhbarnya, Asyraf Afnan Ahmad Murtadza.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!