Terputus bekalan elektrik sejak tiga tahun lepas

Pondok usang umpama reban ayam yang didiami Abdul Rahman.
Pondok usang umpama reban ayam yang didiami Abdul Rahman.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Seorang warga emas lumpuh yang juga ibu tunggal, tabah mendiami sebuah rumah yang terputus bekalan elektrik sejak lebih tiga tahun di Kampung Paya Rumput Hilir, Tangga Batu.

Rahmah Muhamad Noor, 83, yang hanya bergerak dengan bantuan kerusi roda dan dibantu anaknya, terpaksa melalui kepayahan itu setelah tidak mampu menjelaskan bil elektrik yang tertunggak hingga mencecah RM5,300.

Anak lelakinya, Abdul Rahman Mohamad, 35, berkata, ibunya lumpuh setelah beberapa kali terjatuh ketika membersihkan air hujan yang masuk ke dalam rumah akibat bumbung rumah bocor.

Menurutnya, dia yang sebelum ini mendiami kawasan lain, mengambil keputusan untuk tinggal bersama ibunya sejak dua bulan lalu, bagi menjaga dan menguruskan ibu yang semakin uzur dan tidak berdaya untuk bergerak sendiri.

Katanya, demi kasih kepada ibu dia terpaksa tidur di sebuah pondok yang usang dengan beralaskan tilam nipis disebabkan keadaan rumah ibunya yang kecil dan sempit.

"Bertahun-tahun emak terpaksa tinggal dalam rumah tak berkipas. Bila tengah hari memang bahang dan panas, tapi nak buat macamana. Kami tak mampu bayar bil yang tertunggak sampai beribu-ribu ringgit.

Rusnah (tiga,kanan) ketika melawat Abdul Rahman bersama isteri dan anaknya yang tinggal di pondok berhampiran rumah ibunya yang lumpuh di Kampung Paya Rumput Hilir, Tangga Batu.
Rusnah (tiga,kanan) ketika melawat Abdul Rahman bersama isteri dan anaknya yang tinggal di pondok berhampiran rumah ibunya yang lumpuh di Kampung Paya Rumput Hilir, Tangga Batu.

"Saya pula terpaksa tinggal di pondok kerana rumah mak sempit. Bila malam saya akan bergilir dengan isteri jaga emak di rumah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, apabila malam menjelma, bukan hanya rumah ibunya bergelapan, namun dia yang tinggal di pondok turut mengalami nasib yang sama dalam masa sama reda dengan ujian ALLAH SWT, asalkan tidak lagi berjauhan dengan ibunya.

Menurutnya, dia kini hanya bekerja kampung seperti mengambil upah mengemas kebun penduduk, menggali kubur dan membantu membuat batu nisan bagi meneruskan kelangsungan hidup.

"Harap sangat ada pihak sudi bantu kami sekeluarga. Lebih penting kalau dapat bantuan baiki rumah sebab saya nak sangat tengok emak dapat tinggal selesa, tak panas dan bergelap," katanya ketika menerima kehadiran Ahli Parlimen Tangga Batu, Dr Rusnah Aluai.

Sementara Itu, Rusnah berkata, pihaknya akan memberikan perhatian kepada keluarga ini dan berusaha menyalurkan bantuan yang diperlukan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!