Bomba selamatkan budak hanyut selepas jatuh longkang

Anggota bomba berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak enam tahun yang hanyut ke kolam takungan. - Foto JBPM
Anggota bomba berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak enam tahun yang hanyut ke kolam takungan. - Foto JBPM
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang kanak-kanak enam tahun terjatuh ke dalam longkang sebelum dihanyutkan ke kolam takungan dalam kejadian hujan lebat di Taman Sejati Indah di sini pada Rabu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, mangsa bagaimanapun berjaya ditemui dalam keadaan selamat.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam lebih kurang 5.07 petang.

"Setibanya di lokasi kejadian, komander operasi mengesahkan terdapat seorang mangsa iaitu kanak-kanak lelaki berusia enam tahun hanyut di dalam longkang dan dibawa arus ke dalam kolam takungan air ketika hujan lebat.

“Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa tergelincir semasa bermain di tepi longkang sebelum dibawa arus deras.

“Anggota membuat kerja-kerja pencarian dan menemui mangsa dalam keadaan selamat pada jam 5.37 petang di tebing kolam,” katanya ketika dihubungi.

Sayani berkata, anggota bomba berjaya mengeluarkan mangsa dan dibawa ke tempat selamat.

Mangsa diberikan rawatan awal oleh anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Kanak-kanak itu kemudiannya dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan selanjutnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!