CAP gesa atasi kenaikan harga sayur, dakwa naik hingga 160 peratus
SHAH ALAM - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengambil langkah segera bagi menurunkan harga sayuran yang meningkat sehingga 160 peratus dalam tempoh sebulan lalu.
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya menerima aduan daripada peruncit yang mendakwa pengedar dan pemborong turut memberi amaran bahawa harga sayur dijangka meningkat beberapa minggu akan datang.
"Harga bendi dan kacang panjang yang sebelum ini hanya RM6 sekilogram, masing-masing meningkat sebanyak RM16 dan RM12 manakala tomato (RM4.50 sekilogram), kacang (RM6 sekilogram) dan terung RM7 sekilogram kini masing-masing berharga antara RM10 hingga RM12 sekilogram," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambahnya, kenaikan harga barang perlu ditangani segera kerana ia akan memberi kesan terhadap golongan berpendapatan rendah.
Menurut Mohideen, tindakan tegas terhadap peniaga yang menaikkan harga secara berlebihan dan melanggar Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 juga perlulah diambil.
"CAP sudah berulang kali menggesa supaya FAMA mengawal pemasaran dan pengedaran sayur-sayuran di negara ini bagi menghapuskan pencatutan orang tengah tetapi gesaan kami tidak didengari," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!