Buang masa atas jalan 500 jam setahun
TAHUKAH anda purata seorang penduduk Lembah Klang menghabiskan masa dalam kesesakan lalu lintas adalah sekurang-kurangnya 44 jam sebulan atau lebih 500 jam setahun?
Khabarnya ada kajian mendapati seorang pekerja kerugian produktiviti sebanyak kira-kira RM308 sebulan akibat terperangkap dalam kesesakan jalan raya.
Hal ini dikongsikan oleh Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kimia dan Persekitaran, Fakulti Sains Gunaan Universiti Teknologi Mara, Dr Ismaniza Ismail.
Katanya, penumpang menghabiskan kira-kira satu hingga dua jam di jalan raya akibat terperangkap dalam trafik setiap hari. Beliau mempersoalkan berapa banyak masa terbuang akibat kesesakan lalu lintas.
“Ini menjejaskan produktiviti mereka di tempat kerja. Jika purata gaji sejam ialah RM7, didarab dengan dua jam sepanjang 22 hari bekerja, kehilangan produktiviti di jalan raya dianggarkan RM308 sebulan,” ujarnya.
Beliau turut berkongsi, terperangkap dalam trafik terlalu lama akan menyebabkan tekanan dan ini boleh mengganggu emosi serta produktiviti sekali gus menjejaskan persekitaran kerja.
Ulasnya lagi, duduk di dalam kereta terlalu lama pula akan menyebabkan sakit belakang dan bermacam-macam masalah kesihatan lagi.
Walaupun waktu bekerja fleksibel sudah pun berkuat kuasa, namun rancangan kukuh untuk mengurangkan kesesakan trafik kelihatan tidak mencukupi.
Masalah sistem pengangkutan awam kita yang sejak dulu dikatakan lemah, rupa-rupanya masih belum menemui titik noktah.
Sebaliknya, lihatlah negara seperti Jepun, sistem pengangkutan awamnya sangat efisien sehingga majoriti penduduk lebih gemar menggunakannya berbanding memandu kenderaan sendiri.
Kesesakan lalu lintas akan sentiasa menjadi isu di Malaysia melainkan pihak berkuasa mengambil tindakan secepat mungkin untuk menyelesaikan pelbagai isu yang membelenggu pengangkutan awam seperti menepati masa, beroperasi di lebih banyak laluan dan mempertingkat kekerapan perjalanan.
Selagi kecekapan pengangkutan awam kita tidak diyakini, selagi itulah rakyat akan terus memilih untuk memandu kenderaan sendiri.
Sistem pengangkutan di Malaysia telah berkembang dari tahun ke tahun sesuai dengan peredaran masa namun masalah pengangkutan awam masih gagal diatasi.
Terdapat pelbagai jenis pengangkutan awam terutama di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur.
Antaranya bas, teksi, KTM Komuter, Monorel, Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT).
Namun di sebalik kecanggihannya, masih terdapat kekurangan yang boleh diperbaiki untuk memudahkan pengguna pada masa akan datang.
Banyak contoh masalah pengangkutan awam. Salah satu sebab kurangnya rakyat Malaysia menggunakan pengangkutan awam adalah tambangnya masih dianggap mahal.
Kos tambang ini amat dirasai oleh pengguna berpendapatan rendah yang menggunakan pengangkutan awam dalam urusan seharian mereka. Dengan kos sara hidup yang kian meningkat, masalah tambang pengangkutan awam menjadi kerisauan buat mereka.
Mujurlah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke baru-baru ini mengumumkan pelajar sekolah rendah dan orang kurang upaya (OKU) di seluruh negara, yang menggunakan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menikmati tambang percuma bermula 15 Februari ini.Dua masalah lain pengangkutan awam ialah tempoh menunggu yang lama dan jumlah parkir yang tidak mencukupi.
Masalah kekerapan perjalanan terutama bas kadangkala memaksa pengguna menunggu sehingga sejam lamanya.
Ini akan menyulitkan pengguna yang ingin ke tempat kerja. Disebabkan itu, ramai rakyat Malaysia tidak mahu menggunakan pengangkutan awam kerana terlalu lambat dan akan mengakibatkan perjalanan mereka terganggu.
Masalah parkir tidak mencukupi di stesen-stesen LRT pula memaksa pengguna datang awal untuk mendapatkan parkir di sekitar kawasan stesen.
Kalau tidak, mereka terpaksa parkir jauh dari stesen. Selain itu, caj dikenakan untuk parkir juga agak tinggi dan ini menambahkan lagi beban pengguna.
Justeru, sistem pengangkutan awam di Malaysia perlu diperbaiki bagi mengurangkan kesesakan jalan raya yang amat menyeksakan.
* Muhammad Amirul Amin Abdul Rahim ialah Pencipta Kandungan Digital Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!