Parkir tambahan di HSI bakal atasi kesesakan

Tempat letak kenderaan tambahan Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru yang dibuka pada Khamis.
Tempat letak kenderaan tambahan Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru yang dibuka pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Isu kesesakan kenderaan di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini bakal diatasi menerusi pembukaan tempat letak kenderaan tambahan di hospital berkenaan pada Khamis.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri mengambil serius isu kesesakan kenderaan di HSI yang sering menjadi rungutan selama ini.

"Tempat meletak kereta tambahan di HSI akan dibuka hari ini (Khamis). Semoga tambahan ini dapat mengurangkan keadaan kesesakan kenderaan di HSI.

"Untuk makluman, pada Ogos 2022, kerajaan negeri telah mengumumkan peruntukan sejumlah RM500,000 bagi kerja-kerja menaik taraf kawasan tempat letak kereta di HSI," katanya menerusi muat naik di laman Facebooknya pada Khamis.

Onn Hafiz memberitahu, kerajaan negeri juga sebelum ini telah mengumumkan peruntukan RM95,000 bagi penggantian bumbung "polycarbonate" serta kerja berkaitan dan juga RM75,000 bagi kerja pembekalan kerusi berangkai di ruang menunggu.

"Kerajaan negeri akan sentiasa berusaha yang termampu untuk membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam meningkatkan mutu perkhidmatan, bukan sahaja dari sudut rawatan kesihatan, tetapi juga dari sudut penambahbaikan infrastuktur, demi kesejahteraan Bangsa Johor," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!