Harga sebenar sepinggan nasi, ayam dan sayur ialah RM5.68
SHAH ALAM - Kos bagi menyediakan satu set hidangan siap dimasak yang mengandungi nasi, sayur dan ayam goreng ialah sebanyak RM5.68.
Berdasarkan anggaran kiraan kos asas bagi hidangan tersebut ialah 50 sen bagi sepinggan nasi, seketul ayam bersaiz kecil (RM1.25), sayur taugeh (50 sen), santan kotak (80 sen), garam dan kunyit (10 sen) dan bawang (10 sen).
Ini menjadikan anggaran kos tanpa masak ialah sebanyak RM3.25 dan jika mengambil kira keuntungan sebanyak 75 peratus jumlah keseluruhan ialah RM5.68.
Menurut seorang peniaga yang enggan dikenali, antara perkara yang juga perlu diambil kira ialah kos air, elektrik, tenaga, gas, minyak dan tenaga pekerja.
“Ini adalah kiraan yang paling asas kerana harga makanan di setiap kedai adalah berbeza dari segi lokasi perniagaan, kos bahan mentah dan kos sewa kedai,” katanya kepada Sinar Harian.
Peniaga tersebut yang mempunyai Diploma Perhotelan dan Katering dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, dengan kiraan tersebut adalah amat sukar bagi peniaga untuk menjual di bawah harga RM5.
Sementara itu, seorang pemilik Kedai Nasi Lemak di Shah Alam, Rozana Harun, 52, berkata, dia terpaksa menghentikan penjualan menu nasi berlauk dan ditukarkan kepada nasi lemak ekoran kenaikan harga bahan mentah yang masih belum stabil.
“Saya terpaksa menghentikan penjualan menu nasi berlauk yang mempunyai ayam atau ikan dan sayur-sayuran kerana ia tidak menguntungkan.
“Terdapat pelbagai kos yang perlu diambil kira sebelum sesuatu harga makanan itu dikenakan kepada pelanggan.
“Secara kasar, harga sepinggan nasi yang mempunyai ayam atau ikan dan sayur-sayuran adalah RM10 dan saya terpaksa menjual kepada pelanggan dengan harga RM12.
“Saya tidak sampai hati untuk mengenakan caj harga yang sebegitu, jadi, saya menghentikan penjualan nasi berlauk ini,” ujarnya.
Tambahnya lagi, kos bahan mentah untuk menu nasi berlauk memerlukan modal yang tinggi ditambah pula dengan kesukaran untuk mendapatkan bahan-bahan tersebut.
“Selain kenaikan harga kos bahan mentah, saya juga mengalami kesukaran untuk mendapatkan bahan tersebut.
“Contohnya, saya terpaksa pergi ke beberapa kedai yang menjual ayam dan sayur-sayuran untuk membandingkan harga terlebih dahulu.
“Harga timun sekilogram RM7 dan harga limau kasturi sekilogram adalah RM17 dan berlaku kenaikan harga di situ. Selain itu, stok bahan bekalan seperti telur juga susah untuk diperolehi,” katanya.
Ujar Rozana, untung bersih bagi penjualan menu nasi lemak lebih tinggi berbanding menjual menu nasi berlauk.
“Kira-kira RM1,000 untung bersih yang saya perolehi dengan menjual menu nasi lemak berbanding hanya RM200 sahaja ketika saya menyediakan menu nasi berlauk,” ulasnya.
Sementara itu, Muhammad Khairul Fikri, 31, pemilik kedai makan di Kampar, Perak, berkata, kos sebenar bagi hidangan ayam gepuk yang dijual olehnya sangat tinggi.
“Kos sebenar adalah sekitar RM7 hingga RM9. Harga ayam bahagian paha yang kami guna meningkat daripada RM20 kepada RM29 bagi satu paket.
“Menu yang dijual juga memerlukan cili dan bawang untuk dijadikan sebagai sambalnya.
“Namun, harga cili dan bawang kini agak mahal sehingga boleh mencecah RM9 sekilogram bagi cili dan bawang RM4 sekilogram,” katanya.
Tambahnya, situasi itu memberikan bebanan kepadanya dan untuk menurunkan harga makanan itu adalah mustahil.
“Walaupun baru-baru ini kerajaan telah mengumumkan mengenai hidangan Menu Rahmah pada harga RM5, namun sebagai pengusaha kedai makanan, ia memberi sedikit kesukaran kepada saya.
“Saya menjual hidangan ayam gepuk dengan harga RM12 sepinggan kerana saya terpaksa menaikkan kos harga jualan untuk saya menampung semula kos-kos lain dan keuntungannya,” katanya.
Khairul berkata, kos bahan mentah seperti ayam adalah terlalu mahal lebih-lebih lagi jika dibeli secara timbang kilo.
“Sekiranya, saya membeli secara timbang kilo dan bukan dalam pukal maka, harganya lebih mahal. Bagi dua ketul ayam peha adalah RM10,” ulasnya.
Pada Jumaat, kerajaan mengumumkan pengenalan Menu Rahmah iaitu hidangan makanan pada harga RM5 ke bawah khusus untuk golongan miskin tegar.
Bermula Selasa, golongan terkesan dengan kos sara hidup boleh menikmati makanan dengan harga RM5 di 15,000 premis di seluruh negara.
Ia selaras dengan pelancaran inisiatif Menu Rahmah kerajaan yang bertujuan untuk memastikan golongan B40 khususnya mampu membeli makanan pada harga yang berpatutan.
Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, menerusi inisiatif itu, diharapkan tiada lagi golongan sasar yang tidak mampu membeli makanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!