Gunung Baling terbakar
BALING - Kedudukan curam dan cuaca semakin gelap antara kesukaran dihadapi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk melakukan kerja-kerja pemadaman Gunung Baling yang terbakar sejak petang Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Jamil Mat Daud berkata, pemantauan dibuat pada peringkat awal mendapati kebakaran berlaku pada satu lokasi curam dan sukar diakses.
Menurutnya, ia dilaporkan bermula pada jam 7.20 petang setelah pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan kejadian.
"Maklumat awal mengatakan terdapat kepulan asap di kawasan Gunung Baling.
"Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian mendapati berlaku kebakaran di Gunung Baling dan api marak menghampiri kawasan puncak.
"Bagaimanapun anggota bomba yang berusaha untuk memadamkan kebakaran di kaki gunung berdepan kesukaran," katanya.
Jelas beliau, kerja pemadaman api tidak dapat dilakukan atas faktor geografi dan dinding batu kapur yang curam sehingga mencecah 90 darjah.
Tambahnya, cuaca gelap yang berisiko kepada anggota menyebabkan operasi terpaksa ditangguhkan sehingga pagi Khamis.
Namun jelasnya, pemantauan secara berkala terus dilakukan dari semasa ke semasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!