Gakpo perlukan masa sesuaikan diri

Gakpo
Gakpo
A
A
A

CODY Gakpo akan tampil dengan aksi lebih baik untuk Liverpool apabila dia sudah dapat menyesuaikan diri dengan suasana Liga Perdana Inggeris (EPL), kata bekas pemain Belanda, Wesley Sneijder.

Penyerang berusia 23 tahun itu telah membuat lima penampilan untuk The Reds sejak perpindahan pada Januari dari PSV, namun dilihat bergelut tanpa menjaringkan gol atau bantuan gol.

Gakpo mencatat sembilan gol dan 12 bantuan gol dalam 14 perlawanan bersama kelab lamanya sebelum berpindah ke Anfield, namun setakat ini tidak dapat mengulangi prestasi itu di England.

Sneijder percaya Gakpo adalah pemain hebat yang boleh membantu pasukan baharunya itu mengembalikan prestasi pasukan dalam saingan liga.

"Sudah tentu saya yakin dia boleh bertambah baik di Liverpool. Ia sentiasa sukar untuk menukar kelab pada musim ini terutama anda tidak mendapat masa untuk menyesuaikan diri.

"Biasanya apabila anda bermula dengan kelab baharu dalam pramusim, anda mempunyai tempoh yang lebih lama untuk menyesuaikan diri dengan sistem dan juga dengan bola sepak Inggeris.

"Sekarang dia tiba dan dia perlu bermain terus dan menjadi sukar. Kita harus memberinya sedikit masa lagi kerana dia seorang pemain yang hebat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!