Maqis rampas 3,546 karton aiskrim dari China
PELABUHAN KLANG - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas 3,546 karton aiskrim yang dibawa masuk dari China di sini, Sabtu lalu.
Pengarah Maqis Negeri Selangor, Mohd Sobri Md Hashim berkata, produk hasil tenusu seberat 12,800 kilogram bernilai kira-kira RM26,000 itu dikesan dibawa masuk menggunakan sebuah kontena.
Menurutnya, kesemua hasilan tenusu (aiskrim) yang diimport dari negara China oleh syarikat tempatan itu gagal mengemukakan dokumen Permit Import yang sah.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama sehingga enam tahun atau kedua-duanya sekali.
"Maqis sentiasa menekankan pendekatan keseluruhan kerajaan atau 'whole of government approach' dengan mengutamakan keperluan dan suara rakyat adalah amat penting dalam menyahut cabaran keterjaminan makanan negara," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Tambahnya, dalam hal ini, pendekatan secara bottom-up dan top-down akan terus dilaksanakan oleh kerajaan secara strategik.
Jelasnya, Maqis juga menasihati agar semua pengimport dan pengeksport sentiasa mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan agar kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara di Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!