18 restoran diarah ditutup, kebersihan kurang 75 peratus
ALOR SETAR - Sebanyak 18 buah premis makanan di tiga daerah di Kedah diarahkan tutup oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) selepas didapati melanggar Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 pada Rabu.
Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr Othman Warijo berkata, langkah penutupan premis terlibat dibuat selepas melihat penilaian premis kurang 75 peratus.
Katanya, operasi bersepadu itu dijalankan di tiga buah daerah termasuk Pokok Sena dan Baling dengan kerjasama pegawai polis, pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta pegawai dari pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Sebanyak 230 premis telah diperiksa dengan kekuatan 118 anggota dan kompaun berjumlah RM39,450 telah dikeluarkan bagi kesalahan kebersihan," katanya ketika ditemui selepas operasi bersepadu di sekitar bandaraya ini pada Rabu malam.
Menurutnya, operasi itu dijalankan susulan peningkatan aduan oleh pengguna, di beberapa buah daerah setelah sektor ekonomi kembali rancak pasca Pandemik Covid-19.
"Operasi kita juga tertumpu kepada penguatkuasaan rokok termasuk rokok elektronik (Vape), serta penguatkuasaan tempat pembiakan nyamuk Aedes," katanya.
Ujarnya, bagi kesalahan di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975, sebanyak 10 premis telah dikesan pembiakan dengan nilai kompaun sebanyak RM5,000.
"Bagi kesalahan merokok pula jumlah kompaun yang dikeluarkan adalah RM2,750," katanya.
Dr Othman menambah, antara kesalahan berulang yang masih diamalkan peniaga adalah menyimpan makanan yang telah dimasak, bersama makanan yang mentah dalam ruang yang sama dalam peti sejuk.
"Selain itu, peniaga juga didapati gagal melakukan kerja pengasingan dalam simpanan sehingga terdapat makanan yang sudah luput tarikh dan berkulat bercampur dengan stok makanan yang baharu," katanya.
Tegasnya, JKN akan meneruskan serbuan dan pemeriksaan secara berkala bagi memastikan kualiti perkhidmatan pengendali makanan di negeri ini adalah baik dan diyakini rakyat dan pelancong luar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!