Penduduk desak kerajaan baiki jalan rosak

Sebahagian penduduk yang tampil dan mendesak laluan itu segera dinaik taraf.
Sebahagian penduduk yang tampil dan mendesak laluan itu segera dinaik taraf.
A
A
A

BERA - Selepas enam tahun bersabar berdepan jalan rosak teruk, penduduk di Felda Triang 1 di sini mendesak kerajaan segera menaik taraf laluan FT1564 menghala ke Bandar 34 di sini demi keselamatan penduduk dan pengguna laluan tersebut.

Desakan timbul selepas pelbagai usaha didakwa telah dijalankan sepanjang tempoh tersebut namun masih belum diselesaikan hingga kini.

Keadaan jalan yang rosak, beralun dan sempit mengundang risiko kira-kira 3,000 pengguna laluan sepanjang 18.8 kilometer yang menjadi laluan utama keluar masuk penduduk dan sekitarnya setiap hari.

Ketua Komuniti Kampung Felda Triang 1, Mohd Sayuti Zakaria, 56, memberitahu, penduduk menagih supaya laluan itu segera dinaik taraf demi keselesaan pengguna.

"Aduan telah pun dibuat, rayuan telah dibuat daripada pelbagai sudut kepada pelbagai pihak.

"Cuma kita tak dapat maklum balas. Alasannya terlalu banyak untuk baik pulih," katanya di sini pada Rabu.

Ujar Sayuti, masalah itu berlaku apabila kenderaan berat memasuki laluan tersebut untuk projek pembangunan dalam kawasan terbabit.

"Kalau cakap pasal janji, daripada sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) lagi sudah berjanji.

"Nak kata wakil rakyat tak tahu, tak munasabah. Nak kata Penghulu tak tahu, tak munasabah. Nak kata peringkat negeri Pahang, tah lah. Malulah. Malu kerana Pahang paling teruk jalan," tegas Sayuti.

Jelas Sayuti lagi, beliau risau jika laluan itu dibiarkan tanpa segera dinaik taraf, lebih banyak kemalangan berlaku kerana setakat ini terdapat 15 kemalangan direkodkan termasuk insiden meragut nyawa selain terpaksa berdepan masalah debu.

Beliau juga memberitahu, mereka tidak teragak-agak dan nekad menutup jalan menyekat kenderaan berat masuk ke penempatan itu sebagai langkah drastik jika tindakan segera tidak diambil.

Bagi seorang peneroka, Norazman Idris, 56, mendakwa situasi tersebut menyebabkan penyelenggaraan kenderaan terpaksa dilakukan secara kerap kerana sering rosak.

"Tiga bulan sekali kena buat penyelenggaraan dan saya berharap pihak kerajaan memberikan perhatian serius dengan situasi yang dihadapi penduduk di sini," katanya telah 30 tahun duduk di rancangan terbabit.

Sementara itu, Ketua Peneroka Felda Triang 1, Mohamed Jidi Yaakob, 59 memberitahu situasi tersebut juga memberikan imej buruk kepada daerah Bera.

"Ia satu situasi mendukacitakan kerana ia juga laluan utama ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan ke kem tentera, orang luar kata jalan teruk.

"Kami bukan membantah pembangunan, cuma meminta pihak-pihak berwajib ambil tindakan segera, selain untuk elakkan lebih banyak kemalangan. Semalam (Selasa) pun ada kemalangan juga dan difahamkan mangsa dalam keadaan koma," tambah beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!