Belajar buat dadah di Youtube makan diri
SERDANG - Aktiviti seorang bekas pemandu e-hailing yang menjalankan kegiatan memproses dadah di sebuah kilang di Seri Kembangan, di sini terbongkar dalam serbuan polis pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, operasi kira-kira jam 7 petang oleh sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang itu berjaya menahan seorang lelaki tempatan.
Menurutnya, serbuan mendapati premis terbabit dijadikan sebagai makmal memproses dadah sejak setahun lalu.
"Polis merampas 123 kilogram (kg) serbuk dadah MDMA selain satu peket disyaki berisi dadah syabu (504 gram), 18 botol berisi serbuk dadah (301.87 gram), 21 pil ekstasi dan daun kering disyaki ganja seberat 13.8 gram.
"Nilai rampasan dadah dianggarkan bernilai RM6.38 juta dan ia dipercayai untuk pasaran di Lembah Klang," katanya dalam sidang akhbar di IPD Serdang di sini pada Khamis.
Beliau berkata, polis turut merampas tiga mesin dan beberapa peralatan yang digunakan untuk memproses dadah.
Katanya, siasatan terhadap suspek berusia 44 tahun itu mendapati dia mempelajari kaedah memproses dadah, menghasilkan ekstasi daripada serbuk MDMA menerusi Youtube.
"Dipercayai setiap 10kg serbuk yang diproses mampu menghasilkan 50,000 biji pil dadah dengan hasil mencecah RM15,000 dalam tempoh satu hingga dua minggu," ujarnya.
Tambah Anbalagan, siasatan masih dijalankan dan polis percaya ada rakan suspek yang masih bebas.
"Dua kenderaan jenis Toyota Hilux dan Nissan NV200 serta wang tunai RM10,000 telah disita untuk tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
"Suspek kini direman tujuh hari sehingga 3 Februari untuk tindakan di bawah Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!