Ubur-ubur beracun makin beradaptasi, beri ancaman

Ubur-ubur beracun jenis Portuguese Man o'War atau nama saintifiknya ‘physalia physalis'. -Foto 123RF. (Gambar kecil: Mohd Fazrul Hisam)
Ubur-ubur beracun jenis Portuguese Man o'War atau nama saintifiknya ‘physalia physalis'. -Foto 123RF. (Gambar kecil: Mohd Fazrul Hisam)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kehadiran ubur-ubur beracun jenis Portuguese Man o'War atau nama saintifiknya ‘physalia physalis' di beberapa lokasi pantai negara ini mula dikesan dan dilaporkan sejak tiga tahun lalu.

Pensyarah kanan Fakulti Perikanan dan Sains Makanan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Mohd Fazrul Hisam Abd Aziz berkata, spesis itu bukan berasal dari perairan negara sebaliknya ia banyak ditemui di lautan Altantik dan India.

“Bagaimanapun, spesis ubur-ubur ini mula dikesan berada dalam perairan negara kita sejak kebelakangan ini.

“Sekiranya kitaran taburan Portuguese Man o'War boleh dijumpai setiap tahun di perairan negara kita dalam masa yang panjang, ini bermaksud ubur-ubur ini sudah mampu beradaptasi dengan baik di lautan kita,” katanya di sini pada Khamis.

Mohd Fazrul Hisam turut menasihati orang ramai supaya tidak menyentuh dan menjauhkan diri dari ubur-ubur kecil berwarna lut sinar ini sama ada ditemui dalam air atau sudah mati kerana ia boleh mengundang bahaya.

Beliau berkata, selain sengatan yang amat menyakitkan, bagi mereka yang mempunyai alahan, ubur-ubur tersebut boleh melumpuhkan mangsa melalui sengatannya, selain boleh menyebabkan melecur pada kulit dan membawa maut.

“Sekiranya terkena sengatan, jangan sentuh ubur-ubur dengan tangan sebaliknya ambil langkah awal dengan mencurahkan cuka di kawasan tersebut dan segera mendapatkan rawatan di hospital berhampiran.

“Saya juga menasihatkan orang ramai supaya sentiasa ambil tahu tentang sebarang laporan kehadiran ubur-ubur di pantai yang ingin dikunjungi dan lihat papan tanda disediakan pihak berkuasa,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan tentang penemuan ubur-ubur beracun jenis Portuguese Man o'War di dua lokasi iaitu Pantai Seberang Takir, Kuala Nerus dan Pantai Pulau Kekabu, Marang pada minggu lepas.

Kemudian, ubur-ubur spesis sama turut ditemui di Pantai Irama, Bachok, Kelantan.

Mengulas lanjut, Mohd Fazrul Hisam berkata, penurunan populasi pemangsa ubur-ubur seperti penyu sebagai pemangsa utama boleh menjadi faktor mempengaruhi peningkatan taburan pelbagai jenis ubur-ubur terutama melibatkan spesis beracun di perairan negara.

Jelas beliau, perubahan cuaca yang juga mempengaruhi suhu di lautan turut memainkan peranan dalam perkara ini.

Ini kerana katanya, ada kajian menunjukkan sesetengah spesis ubur-ubur mampu beradaptasi dengan perubahan suhu dalam julat yang besar selain boleh membiak dengan baik pada suhu tropika seperti lautan Malaysia.

“Ada sesetengah sistem pengairan pertanian yang tidak begitu sistematik juga boleh menyumbang kepada peningkatan nitrogen, fosforus dan kalium.

“Kehadiran kandungan nutrient ini boleh menyumbang kepada proses eurofikasi, boleh juga mengganggu habitat perikanan namun dalam masa sama, ia menjadi habitat yang sesuai pula kepada ubur-ubur.

“Kita juga perlu sedar, organisma akuatik tertabur atas beberapa faktor yang penting iaitu makanan dan tempat tinggal untuk membiak,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!