Wanita mengaku tak salah pecah amanah wang pekerja

Fauziah (dua dari kiri) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan pecah amanah pada Khamis
Fauziah (dua dari kiri) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan pecah amanah pada Khamis
A
A
A

IPOH - Seorang wanita berdepan 48 pertuduhan pecah amanah membabitkan wang bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bernilai RM30,000 di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis.

Tertuduh, Fauziah Mustafa, 47, melakukan kesalahan tersebut di antara Januari tahun 2021 sehingga Mei tahun 2022 bertempat di Maybank Cawangan Klebang, Ipoh.

Mengikut pertuduhan, pemilik sebuah agensi pekerjaan itu gagal menyerahkan wang bantuan Elaun Persediaan Kerja (EPK) Perkeso berjumlah RM30,000 kepada pekerja-pekerjanya melalui syarikat miliknya, FMZ Worldwide Ventures.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan penjara maksimum 10 tahun berserta sebatan dan denda.

Bagaimanapun Fauziah mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad atas kesemua pertuduhan yang dikenakan dan minta dibicarakan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya membenarkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 Mac depan bagi sebutan semula kes.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!