KPDN akui harga sayur naik tapi masih stabil

Jegan
Jegan
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang tidak menafikan berlaku kenaikan harga sayur-sayuran di negeri ini namun masih berada pada tahap yang stabil.

Pengarahnya, S Jegan berkata, hasil pemantauan dibuat pegawai penguat kuasa dan pegawai pemantau harga di negeri ini mendapati kenaikan harga berlaku membabitkan 10 jenis sayuran namun tidak ketara seperti yang didakwa Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) pada Rabu.

Menurutnya, tomato, timun, kacang buncis, kacang panjang, sawi dan lada benggala merah antara sayuran yang mencatat kenaikan harga di antara 4.03 peratus hingga 71.43 peratus selain terung panjang, bendi, kubis bunga dan lada benggala hijau.

"Pemantauan dibuat di 45 pasar awam, 13 hypermarket dan 18 pasar raya di seluruh Pulau Pinang mendapati terdapat perubahan harga runcit pada 1 Februari berbanding 31 Januari lalu.

"Memang ada gangguan sedikit mengenai harga atas beberapa faktor seperti keadaan cuaca yang tidak menentu kebelakangan ini namun kenaikan itu tidak ketara seperti yang didakwa sehingga 160 peratus," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di Stor Penyimpanan Eksibit KPDN di Bukit Minyak pada Khamis.

Jegan berkata, hasil pemantauan dilakukan pihaknya juga mendapati terdapat beberapa premis yang menurunkan harga 10 jenis bahan mentah dan sayuran hingga melibatkan penurunan sehingga 20.04 peratus.

10 jenis sayuran didapati berlaku kenaikan harga namun tidak ketara.
10 jenis sayuran didapati berlaku kenaikan harga namun tidak ketara.

Antaranya kubis bulat, sotong, brokoli, ikan tongkol, tembikai merah tanpa biji dan sayur kailan.

Sementara itu, Jegan berkata, bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya, Bahagian Penguat Kuasa KPDN telah mengarahkan pegawai-pegawai penguat kuasa untuk melakukan pemeriksaan secara harian di pasar awam, pasar pagi, pasar malam, pasar tani dan pasar raya bagi memastikan harga barangan sentiasa terkawal serta menyediakan pelaporan kepada Ibu Pejabat bagi tujuan pemantauan.

Tegasnya, tindakan perundangan di bawah kawal seliaan KPDN akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan mengaut keuntungan yang tidak munasabah waktu ini dengan menggunapakai peruntukan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta Kawalan Bekalan 1961,Akta Timbang dan Sukat 1972 dan Akta Pelindungan Pengguna 1999.

Pada Rabu Sinar Harian melaporkan CAP menggesa KPDN dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mengambil langkah segera bagi menurunkan harga sayuran yang meningkat sehingga 160 peratus dalam tempoh sebulan lalu.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya menerima aduan daripada peruncit yang mendakwa pengedar dan pemborong turut memberi amaran bahawa harga sayur dijangka meningkat beberapa minggu akan datang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!