'Projek bina tangki pra mendapan siap bulan ini' - Fadzli
RAUB - Projek pembinaan tangki pra mendapan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Klau di sini dijangka siap sepenuhnya pada bulan ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Fadzli Mohamad Kamal memberitahu, projek tersebut bakal memberi manfaat kepada lebih 4,200 pemegang akaun Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip).
Menurutnya, ia melibatkan kawasan khususnya dari kawasan Felda Lembah Klau, Rancangan Tanah Pemuda (RTP) Klau, Sungai Klau, Sungai Chalit, Sungai Ruan, Kampung Ulu Gali, Kampung Tok Machang, Kampung Pintu Padang dan Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah Raub.
"Kerajaan negeri telah mengambil inisiatif membina tangki pra mendapan bagi mengatasi kadar kekeruhan yang tinggi sekali gus memastikan penutupan operasi LRA dapat diminimumkan.
"Di daerah Raub sendiri terdapat 3 projek seumpamanya sedang dibina iaitu di LRA Sungai Bilut, LRA Sungai Semantan dan LRA Sungai Klau," katanya.
Beliau berkata, pembinaan projek itu bagi mengatasi kekerapan penutupan operasi LRA akibat daripada kekeruhan sumber air mentah khususnya yang disalurkan dari sungai.
"Melalui inisiatif ini, air sungai yang keruh dan berkeladak ditapis terlebih dahulu di Tangki Pra Mendapan sebelum disalurkan ke loji untuk proses selanjutnya.
"LRA Sungai Klau sendiri kerap ditutup operasinya ekoran tahap kekeruhan air melebihi kadar yang boleh dirawat iaitu 1000 NTU (Nephelometric Turbidity Unit- tahap kekeruhan air)," jelas beliau.
Kerajaan negeri sebelum ini telah meluluskan peruntukan sebanyak RM18 juta bagi tiga projek itu di Raub.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!