Beruang matahari: Perhilitan beri amaran jangan bertindak melulu
YAN - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memberi amaran kepada orang ramai agar tidak bertindak melulu menangkap beruang matahari yang sesat di Kampung Kabu Sepuluh, Selengkoh Tengah dekat sini sejak pagi Khamis.
Pengarah Perhilitan Kedah, Jamalul Nasir Ibrahim berkata, ini berikutan kebimbangan sekiranya haiwan terbabit bertindak agresif sehingga mendatangkan bahaya.
Menurutnya, beruang matahari terbabit dipercayai tersesat dari habitat asalnya di Gunung Jerai berkemungkinan dalam keadaan lapar dan terancam.
"Sebaik sahaja menerima aduan dari orang awam, sekumpulan anggota Perhilitan diarahkan ke lokasi bagi operasi menangkap beruang itu.
"Kawasan sawah yang luas menyukarkan operasi menangkap, ia nampak seperti jinak tetapi merbahaya, orang kampung jangan ambil tindakan melulu.
“Anggota dalam usaha mengesan beruang terbabit yang kini bersembunyi dalam sawah padi dan akan menggunakan tembakan pelali," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Jamalul Nasir memaklumkan, sekiranya operasi menembak ubat pelali gagal, pihaknya akan memasang perangkap bagi tujuan itu.
Dalam kejadian lebih kurang jam 10 pagi Khamis, seorang pegawai bomba bantuan cedera di tangan kiri selepas digigit seekor beruang matahari ketika cuba menangkap haiwan itu.
Antara yang terlibat dalam operasi tangkapan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan orang kampung yang dilihat mula memenuhi lokasi kejadian sejak beruang berkenaan dilihat muncul di kampung mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!