Tujuh kubur lama lebih 100 tahun dipindahkan
KUALA PILAH – Tujuh kubur lama berusia lebih 100 tahun di Kampung Tanjung Ipoh dipindahkan semalam ke Tanah Perkuburan Islam Taman Pemarak, Tanjung Ipoh di sini yang dilaksanakan oleh Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Pilah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.
Pegawai Agama Islam Daerah, Ustaz Mohd Raizalani Mohd Rais berkata, kubur dengan batu nisan (batu megalith) itu berada di tanah milik persendirian.
"Walaupun batu nisan ini dikategorikan sebagai batu megalith (batu hidup) namun tidak diwartakan sebagai tapak warisan kerana lokasinya di tanah persendirian dan ia memudahkan proses permohonan ahli keluarga terlibat.
"Kami menerima permohonan pemindahan kubur tersebut oleh pemilik berkenaan pada awal tahun ini berikutan mereka ingin membina rumah di situ.
"Proses pemindahan ini telah mendapat kebenaran pejabat Mufti Negeri Sembilan disusuli dengan proses yang ditetapkan," katanya selepas selesai proses pemindahan kubur berkenaan tengah hari semalam.
Katanya, proses tersebut dimulakan dengan majlis tahlil pada jam 9 pagi dan selesai dipindahkan ke tanah perkuburan baru berakhir jam 1 tengah hari.
"Seramai 30 orang terdiri dari waris serta penduduk kampung membantu memindahkan kubur ini yang turut dipantau oleh Timbalan Pegawai Agama Daerah Jempol, merangkap ketua panel, Ustaz Norhisham Hassan," katanya.
Sementara itu, pemilik tanah, Beah Oyek, 85, berkata, kubur tersebut telah berada di halaman rumah sejak dia dilahirkan 85 tahun lalu, bagaimana pun, tidak pernah dimaklumkan ia kepunyaan siapa.
“Tak ada yang tampil ceritakan tentang kubur ini, tapi saya pasti ia milik ahli keluarga.
"Tapi kerja pemindahan kubur lama ini terpaksa dilakukan atas permohonan ahli keluarga yang nak bina rumah di tanah ini.
“Kami semua (ahli keluarga) dah sepakat dan setuju pindahkan kubur ini ke tempat baru iaitu di tanah perkuburan Islam Taman Pemarak, Tanjung Ipoh," katanya.
Katanya, dia tidak dapat menahan perasaan sedih apabila melihat satu demi satu batu nisan yang berusia lebih 100 tahun itu dikeluarkan satu persatu.
"Kami akur dan syukur segala urusan berjalan lancar selepas dapat kebenaran dan persetujuan Pejabat Agama Islam Daerah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!