Kerajaan, swasta bekerjasama perkasa TVET
PUTRAJAYA - Kerajaan bercadang untuk mewujudkan kerjasama strategik dengan pihak swasta termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu dilihat berupaya menyelesaikan masalah ketidaksepadanan dan memenuhi keperluan pasaran.
"Oleh demikian saya mengusulkan supaya ada langkah segera (iaitu) kajian dan jawatankuasa untuk memastikan pelajar dilatih dan mendapat pekerjaan dengan pendapatan yang munasabah," katanya.
Menurutnya, syarikat swasta atau GLC dicadangkan mengambil alih institusi TVET untuk melatih, mengurus dan menggunakan kepakaran.
"Contohnya di Pengerang boleh diambil alih oleh Petronas, DRB-Hicom di Pekan dalam bidang automobil, Sunway dan Berjaya untuk latihan perhotelan, pelancongan dan perkhidmatan umum," jelasnya.
Beliau berkata, kelompok daripada syarikat konglomerat Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary juga boleh mengambil sebahagian dalam usaha itu.
"Bajet 2023 memperuntukkan RM6.7 bilion, jabatan dan agensi serta 500 institut kemahiran latihan awam dengan pelatih atau pelajar sekitar 250,000 orang," katanya.
Anwar berkata, jawatankuasa kabinet dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengenal pasti syarikat swasta yang boleh membantu institusi TVET.
“Ini keputusan besar dan minta tindakan diambil segera manakala selainnya kita akan jelaskan dalam pembentangan belanjawan pada 24 Februari ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!