YBK sasar bantu 200 keluarga kurang mampu ketika Ramadan

Zainal (duduk, tengah) bersama penaja Program Sinar Kasih Ramadan.
Zainal (duduk, tengah) bersama penaja Program Sinar Kasih Ramadan.
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) mensasarkan agihan bantuan kepada 200 keluarga kurang berkemampuan dari seluruh Malaysia bagi menyediakan makanan bersahur dan berbuka puasa sepanjang Ramadan yang bakal menjelang.

Pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom, berkata, menerusi Program Sinar Kasih Ramadan 2023, setiap keluarga dikenal pasti akan menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM600 bagi membiayai keperluan berbuka dan bersahur.

Menurutnya, Program Sinar Kasih Ramadan 2023 merupakan tahun ke-15 perlaksanaan program itu di mana YBK telah melaksanakannya bermula sejak tahun 2008 dan sebanyak 3,771 buah keluarga menerima manfaat daripadanya.

"Untuk tahun 2023, YBK berhasrat untuk membantu 200 buah keluarga dengan nilai tajaan sebanyak RM600 untuk satu keluarga, disamping sumbangan barangan daripada penaja-penaja korporat bekerjasama dengan YBK.

"Setiap tahun menjelang Ramadan, YBK melalui program ini akan membantu keluarga fakir, miskin dan asnaf terpilih melalui sumbangan diterima daripada individu dan organisasi," katanya pada majlis pelancaran Program Sinar Kasih Ramadan di Kelana Jaya pada Khamis.

Dalam pada itu, Zainal berkata, maklumat keluarga fakir, miskin dan asnaf terpilih akan diperoleh daripada sumber seperti pihak sekolah, ketua komuniti, rakan-rakan badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan-sukarelawan YBK.

"Setiap data yang diterima akan dipastikan kesahihan dan kelayakannya sebelum disenarai pendek untuk menerima bantuan ini dan penyerahan sumbangan akan dilaksanakan kepada penerima sebelum bermula Ramadan.

"YBK juga mengalu-alukan sumbangan daripada individu, organisasi dan badan-badan korporat untuk bersama-sama menaja keluarga terbabit dan sumbangan diberikan layak menerima potongan cukai pendapatan," katanya.

Tambahnya, YBK juga menghargai kerjasama organisasi korporat dan NGO yang sudi berkolaborasi dengan YBK melalui penajaan barangan dan seumpamanya yang diharapkan akan memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!