Junta Myanmar mungkir janji

Penunjuk perasaan menyertai protes di luar Kedutaan Myanmar di ibu kota Thailand pada Rabu. - Foto AFP
Penunjuk perasaan menyertai protes di luar Kedutaan Myanmar di ibu kota Thailand pada Rabu. - Foto AFP
A
A
A

YANGON - Penderitaan rakyat Myanmar dijangka semakin buruk selepas pemerintah junta tentera mengumumkan pelanjutan tempoh darurat kepada enam bulan lagi ketika ulang tahun kedua memperingati insiden rampasan kuasa pada Rabu.

Tentera Myanmar (Tatmadaw) turut memungkiri janji mereka apabila ia bertindak menangguhkan pilihan raya umum yang dijadualkan pada Ogos depan.

Ketua junta, Min Aung Hlaing memberi alasan keputusan itu dibuat berikutan lebih satu pertiga kawasan di negara itu masih gagal dikawal tentera di tengah-tengah gerakan menentang kudeta semakin meningkat.

Bagi meredakan kemarahan orang ramai, Aung Hlaing mengulangi 'janji palsu' untuk mengadakan pilihan raya seperti digesa banyak pihak, namun Tatmadaw akan tetap mengekalkan peranan utamanya.

"Tentera akan sentiasa menjadi penjaga kepentingan rakyat dan negara walaupun di bawah pemerintahan mana-mana kerajaan pada masa akan datang," lapor MRTV memetik kenyataannya.

Pengumuman yang nyata mengecewakan rakyat Myanmar itu dibuat ketika kebanyakan jalan utama lengang dan premis perniagaan menutup operasi masing-masing sebagai tanda protes menjelang ulang tahun kudeta tersebut.

Situasi itu bagaimanapun berbeza dengan siri bantahan mega yang dilancarkan selama beberapa minggu selepas insiden rampasan kuasa pada 2021 yang turut menyaksikan tindakan kekerasan melampau digunakan ke atas penunjuk perasaan.

"Demonstrasi jalanan sudah reda, namun keganasan masih wujud di seluruh negara," kata Aung Hlaing lagi dan turut menuduh gerakan anti junta yang menjadi penghalang rancangan untuk mengadakan pilihan raya.

Sementara itu, jurucakap Kumpulan Hak Asasi Manusia (HRW), Phil Robertson berpendapat keputusan melanjutkan tempoh darurat itu jelas menunjukkan Aung Hlaing tetap mahu mengukuhkan cengkaman tentera dan tidak menghiraukan rakyat yang hidup sengsara. - AFP

Info

>Tempoh perintah darurat sepatutnya tamat pada akhir Januari. Ia telah dilanjutkan buat kali ketiga sejak rampasan kuasa pada Februari 2021.

>Menurut Seksyen 425 Perlembagaan Myanmar, perintah darurat hanya boleh dikuatkuasakan sebanyak dua kali.

>AS, Kanada dan Britain umumkan pusingan baharu sekatan menyasarkan pemimpin junta dan entiti yang disokong Tatmadaw.

>Lebih 2,900 terbunuh di bawah tindakan kekerasan melampau junta dan lebih 18,000 individu termasuk ahli politik ditahan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!