'Terima kasih cari Acap'
IPOH - Usaha dan kerja keras pasukan keselamatan serta orang ramai yang terlibat dalam pencarian Mohammad Ashraf Hassan atau Acap yang hilang sejak 23 Mac lalu mendapat penghargaan dalam Sidang DUN Perak di sini, hari ini.
Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi (Tualang Sekah-Bebas) merakamkan penghargaan itu ketika mengambil bahagian pada sesi perbahasan menjunjung kasih titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Beliau berkata, usaha pencarian yang masuk hari ke 28 kehilangan itu masih lagi diteruskan hingga kini di sekitar Gopeng.
"Saya mengambil kesempatan ini untuk ucapkan takziah kepada keluarga Acap dan terima kasih kepada bomba, polis, semua anggota keselamatan serta orang ramai yang bergabung tenaga bertungkus lumus setiap hari dalam menggerakkan operasi carian ini.
"Usaha terbaik dijalankan dan kita hanya mampu berdoa supaya Acap ini selamat kembali dengan selamatnya," katanya.
Mohammad Ashraf, 29, disedari hilang selepas mangsa tidak tiba di garisan penamat ketika menyertai larian Gopeng Ultra Trail (GUT), Mac lalu sebelum operasi pencarian dilancarkan namun tidak menemui sebarang petunjuk lokasi mangsa berada.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!