PRN: Rundingan agihan kerusi PN 7 Februari ini

Ahmad Samsuri (dua dari kiri) menyampaikan anugerah tokoh muallim sekolah menengah pada Konvensyen Pendidikan Islam Negeri Terengganu kali ke-2 di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI) pada Khamis.
Ahmad Samsuri (dua dari kiri) menyampaikan anugerah tokoh muallim sekolah menengah pada Konvensyen Pendidikan Islam Negeri Terengganu kali ke-2 di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI) pada Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Perikatan Nasional (PN) dijangka mengadakan rundingan agihan kerusi melibatkan parti komponennya pada 7 Februari ini sebagai persediaan untuk menghadapi pilihan raya negeri (PRN).

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perbincangan barisan kepimpinan peringkat pusat itu akan diadakan di ibu negara membabitkan enam negeri yang belum mengadakan PRN.

“Perbincangan kerusi diadakan di peringkat pusat pada minggu depan.

“Ada pun di negeri-negeri mereka (parti komponen) sebut nak itu nak ini, itu adalah perkara biasa, anak-anak (pemimpin negeri) akan minta macam-macam, mak ayah (pemimpin pusat) akan bincang dan selesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir menyempurnakan Konvensyen Pendidikan Islam Negeri Terengganu kali ke-2 di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI), di sini pada Khamis.

Menurut Ahmad Samsuri, pihaknya menyasarkan untuk memenangi semua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu yang dipertandingkan dalam PRN nanti sekali gus mengekalkan pembentukan kerajaan negeri.

Beliau yang juga Pengerusi PN Terengganu berkata, berdasarkan reaksi positif rakyat dan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), pihaknya yakin dapat mempertahankan 22 kerusi Pas dan merampas 10 kerusi milik UMNO.

“Dalam PRU15, kita mendapat majoriti selesa di 31 kerusi. Cuma satu kerusi saja kita tewas dengan majoriti tipis, jadi dengan apa yang berlaku di peringkat pusat dan sebagainya, akan memberi kelebihan kepada kita,” katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada Terengganu akan mengikut jejak langkah Kedah yang akan membubarkan DUN selepas 18 Jun, Menteri Besar Terengganu itu akan mempertimbangkan keputusan tersebut.

“Kita akan pertimbangkan apa yang disebut MB Kedah,” katanya ringkas.

Sebanyak enam negeri yang tidak membubarkan DUN pada PRU15 lalu akan mengadakan PRN iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!