Menu Rahmah: Jangan hanya bersifat sementara

Antara Menu Rahmah yang ditawarkan pada harga RM5 bermula Selasa lalu. - Gambar kecil: Mohamad Yusrizal
Antara Menu Rahmah yang ditawarkan pada harga RM5 bermula Selasa lalu. - Gambar kecil: Mohamad Yusrizal
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan diharap tidak melaksanakan Menu Rahmah hanya dalam tempoh tertentu atau bersifat sementara kerana ia membantu mengurangkan beban rakyat yang berdepan dengan kenaikan harga makanan serta barangan mentah.

Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, inisiatif baik yang dilaksanakan itu seharusnya berterusan agar rakyat dapat menikmati impak dan faedah dalam usaha mengurangkan kos sara hidup.

Menurutnya, Menu Rahmah wajar diperluaskan ke setiap kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi serta kawasan yang didiami ramai golongan B40.

“Harga bahan mentah seperti sayur, ikan, ayam dan daging masih tinggi, mahu atau tidak peniaga kedai makan terpaksa naikkan sedikit harga makanan dimasak untuk tampung kos operasi harian.

“Apabila kerajaan bantu dengan lancarkan Menu Rahmah, semua pihak dapat rasai situasi menang-menang, jadi kerajaan perlu melihat perkara ini dari peringkat awal hingga akhir,” katanya di sini pada Khamis.

Mohamad Yusrizal berharap pengalaman yang dilalui rakyat tidak akan berulang sekiranya berlaku lagi perubahan kerajaan di peringkat Persekutuan.

“Kita pernah alami keadaan yang mana kerajaan sebelum ini lancarkan food bank selain Menu 1Malaysia, sekarang nama sahaja ditukar namun konsepnya sama, iaitu jual makanan murah untuk rakyat.

“Jangan ‘hangat-hangat tahi ayam’ atau buat sekerat jalan, lepas itu dihentikan sebab menteri atau kerajaan bertukar. Dasar yang baik biarlah kekal dan diteruskan, bukan untuk mileage politik semata-mata,” katanya.

Menurutnya lagi, inisiatif itu juga wajar merangkumi kawasan lebih luas dengan memberi tumpuan kepada penduduk B40 agar lebih ramai dapat menikmati inisiatif kerajaan untuk rakyat ini.

“Jangan pula ditawarkan di kawasan tertentu sahaja sebab penduduk bergaji rendah dan sederhana ada di mana-mana. Menu Rahmah ini dapat bantu golongan B40 terutama yang berkeluarga besar.

“Sekarang memang rakyat terbeban dengan harga makanan, purata antara RM30 hingga RM40 sehari terpaksa dibelanjakan untuk makanan seharian. Dengan adanya menu ini, kuranglah sedikit beban rakyat,” katanya.

Pada Selasa, lebih 15,000 restoran menawarkan Menu Rahmah berharga RM5 bagi hidangan makanan tengah hari atau makan malam untuk golongan B40.

Ia selaras dengan pelancaran inisiatif Menu Rahmah oleh kerajaan bagi memastikan golongan B40 mampu membeli makanan di restoran pada harga berpatutan.

Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub dilaporkan berkata, diharap tiada lagi golongan sasar yang tidak mampu membeli makanan di restoran menerusi inisiatif itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!