[VIDEO] Shahril risau pemimpin UMNO akan terus takut bersuara

Shahril Sufian Hamdan
Shahril Sufian Hamdan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan risau UMNO akan menjadi parti yang pemimpinnya terus takut untuk bersuara kerana khuatir akan dibuang.

Beliau berkata, keadaan itu ia akan menerapkan budaya takut untuk bersuara dalam kalangan pemimpin parti itu.

"Sebabnya sekarang mereka nampak, kalau kritik sikit pun dah boleh kena buang.

"Kalau inilah yang berterusan berlaku dan diterapkan dalam minda ahli UMNO terutama orang muda, ia adalah satu perkara yang merugikan parti," katanya selaku tetamu pada program Sinar Live bertajuk 'Pahit nak telan, tapi...' yang dihoskan Hazwan Mokhtar dan disiarkan di Facebook Sinar Harian pada Khamis.

Shahril (dua kanan) pada program Sinar Live bertajuk 'Pahit nak telan, tapi...' yang dikendalikan hos Hazwan Mokhtar dan disiarkan di Facebook Sinar Harian pada Khamis. -Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID
Shahril (dua kanan) pada program Sinar Live bertajuk 'Pahit nak telan, tapi...' yang dikendalikan hos Hazwan Mokhtar dan disiarkan di Facebook Sinar Harian pada Khamis. -Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID

Pada Jumaat lalu media melaporkan, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pemecatan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan penggantungan enam tahun keahlian bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar yang kemudiannya dipecat atas kehendak beliau sendiri.

Turut digantung keahlian bagi tempoh sama adalah Shahril; Ketua UMNO Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif dan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

Malah, Shahril menegaskan, ketika ini juga sudah wujud persepsi dalam kalangan orang luar bahawa UMNO tidak membenarkan pemimpinnya daripada bersuara susulan pemecatan dan penggantungan keahlian pemimpinnya itu.

Bagaimanapun, katanya, pucuk pimpinan UMNO akan menafikan dakwaan itu dengan jawapan klise iaitu masih ada ruang untuk mengkritik tetapi mesti mengikut saluran yang betul.

"Skrip jawapannya nanti mesti akan macam itu," ujarnya.

Sementara itu, Shahril turut membidas pemimpin UMNO yang mengeksploitasikan kepercayaan akar umbi untuk membenci kelompok yang berbeza pandangan dalam parti itu.

Menurutnya, pelbagai gelaran tidak baik diberikan kepada kelompok yang berbeza pandangan bagi menimbulkan rasa kebencian.

"Dalam ucapan saya pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) tempoh hari, saya sebut bahawa bila ada (pemimpin yang) beza pandangan sahaja dia digelar ejen Perikatan Nasional (PN), asal kritik sahaja dilabel macai kepada orang-orang tertentu.

"Gelaran ini dijual kepada akar umbi. Itu tidak adillah kerana akar umbi akan percaya apa sahaja yang diceritakan pemimpin," jelasnya.

Kata beliau, tindakan pemimpin yang tidak bertanggungjawab itu juga hanya akan memangsakan penyokong UMNO yang tidak tahu perkara sebenar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!