Dua cedera kereta rempuh pagar tabika
TANJONG KARANG - Dua cedera selepas kereta Proton Iswara dinaiki merempuh pagar sebuah taman bimbingan kanak-kanak (tabika) di Kampung Sungai Burong dekat sini pada Khamis.
Kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu mengakibatkan lelaki berusia 36 tahun dan wanita 19 tahun cedera akibat tersepit dalam kenderaan terbabit.
Saksi kejadian yang enggan dikenali berkata, terdapat kira-kira 15 kanak-kanak sedang mengikuti sesi pembelajaran di tabika berkenaan.
"Saya terdengar bunyi dentuman kuat dan segera keluar bagi mendapatkan kepastian dan terkejut apabila kereta dinaiki dua mangsa itu terbabas dan terbalik di pagar tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau memberitahu, lelaki yang juga pemandu kereta itu berjaya dikeluarkan orang awam manakala wanita diselamatkan bomba.
Bagaimanapun, katanya, kejadian itu tidak melibatkan mangsa lain termasuk kanak-kanak tabika terbabit.
Sementara itu, Pengarah Bomba Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pasukannya dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang bersama jentera bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 8.36 pagi.
"Seramai empat anggota termasuk pegawai dikerah dalam operasi itu dan sebaik tiba kami berjaya mengeluarkan mangsa dengan selamat dan diserahkan kepada pasukan perubatan untuk rawatan lanjut.
"Operasi itu berjalan lancar dan ditamatkan sepenuhnya jam 9.50 pagi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!