TH tawar hadiah bernilai RM500,000

TH tawar hadiah wang tunai dan 25 pakej umrah yang bernilai RM500,000 menerusi Kempen Cabutan 'Setia dan Menang' serta 'Simpan, Daftar dan Menang Kelab TaHa' yang bermula pada 1 Februari 2023 hingga 31 Januari 2024. - Gambar kecil: Amrin Awaluddin
TH tawar hadiah wang tunai dan 25 pakej umrah yang bernilai RM500,000 menerusi Kempen Cabutan 'Setia dan Menang' serta 'Simpan, Daftar dan Menang Kelab TaHa' yang bermula pada 1 Februari 2023 hingga 31 Januari 2024. - Gambar kecil: Amrin Awaluddin
A
A
A

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) menawarkan hadiah wang tunai dan 25 pakej umrah yang bernilai RM500,000 menerusi Kempen Cabutan 'Setia dan Menang' serta 'Simpan, Daftar dan Menang Kelab TaHa' yang bermula pada 1 Februari 2023 hingga 31 Januari 2024.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, kempen berkenaan diadakan bagi memupuk dan membudayakan tabiat menabung serta membuat perancangan kewanganbagi tujuan menunaikan ibadat haji.

Katanya, ia sebagai salah satu cara TH menghargai kesetiaan pendepositnya yang telah lama menyimpan di TH.

"Pendeposit TH yang berumur 18 tahun dan ke atas berpeluang menyertai cabutan 'Setia dan Menang' jika mempunyai baki akaun sekurang-kurangnya RM10,000 dan mengekalkan simpanan mereka sepanjang tempoh kempen serta membuat pendaftaran haji bagi yang belum mendaftar haji.

"Pendeposit yang telah menunaikan haji juga layak menyertainya," kata beliau menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Amrin menjelaskan, kempen 'Simpan, Daftar dan Menang Kelab TaHa' pula terbuka kepada semua pendeposit muda berumur di bawah 18 tahun.

Menurutnya, pendeposit hanya perlu mendeposit sekurang-kurangnya RM5,000 dan mengekalkan simpanan bersih minimum RM5,000 dalam akaun TH serta membuat pendaftaran haji bagi yang masih belum mendaftar haji," ujarnya.

Kata beliau, menerusi cabutan 'Setia dan Menang' hadiah berupa wang tunai dan pakej umrah bernilai RM400,000 ditawarkan dan wang tunai bernilai RM100,000 pula kepada pendeposit TH yang menyertai cabutan 'Simpan Daftar dan Menang Kelab TaHa'.

“Kedua-dua kempen ini merupakan inisiatif TH sebagai galakan kepada umat Islam di Malaysia membuka akaun, menabung dan menambah simpanan untuk keperluan urusan haji dan kegunaan di masa hadapan," tambah beliau lagi.

Untuk rekod, seramai 154 pendeposit bertuah telah memenangi hadiah bagi cabutan akhir kempen 'Simpan, Daftar dan Menang' dan kempen 'Simpan, Daftar dan Menang Kelab TaHa' bagi tahun 2022 yang telah dijalankan pada 20 Januari lalu.

Zadariana Jamil berjaya memenangi wang tunai berjumlah RM25,000 bagi cabutan utama manakala Yasir Arafat Bustang dan Aishah Muhammad bertuah memenangi wang tunai bernilai RM15,000 setiap seorang.

Senarai penuh penerima cabutan bertuah kempen 'Simpan, Daftar dan Menang' serta kempen 'Simpan, Daftar dan Menang Kelab TaHa' boleh rujuk di laman sesawang dan Facebook TH.

Untuk pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan TH (THCC) di talian 03-6207 1919.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!