Tze Yong mara ke suku akhir Masters Thailand
PEMAIN perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong mengekalkan momentum kemenangan apabila mengesahkan kemaraan ke peringkat suku akhir Masters Thailand, pada Khamis.
Kejayaan itu hadir selepas pilihan kelapan kejohanan tersebut mengalahkan Heo Kwang Hee dari Korea Selatan 21-16, 21-8 dalam aksi selama 38 minit di Stadium Nimibutr, Bangkok.
Kemenangan itu melebarkan rekod pemain berusia 23 tahun itu ke atas Kwang Hee kepada dua kemenangan.
Tze Yong akan berdepan pemenang perlawanan antara rakan senegara, Cheam June Wei dengan pemain Hong Kong, Ng Ka Long Angus pada Jumaat.
Pentas Masters Thailand menjadi platform terbaik buat Tze Yong menamatkan penantian untuk mara ke suku akhir buat kali pertama tahun ini.
Tiga kejohanan sebelum ini iaitu Terbuka Malaysia, Terbuka India dan Masters Indonesia, Tze Yong tewas di pusingan awal.
Dalam pada itu, skrip berbeza buat beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai apabila disingkirkan pasangan Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito 21-15, 21-10.
Nasib sama turut menimpa gandingan Chan Peng Soon-Cheah Yee See yang terpaksa akur tewas kepada wakil Indonesia, Amri Syahnawi-Winny Kandow 21-19-21-15.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!