Hospital Pakar Putra Melaka kesal difitnah
MELAKA TENGAH - Hospital Pakar Putra Melaka (PSHMSB) kesal dan kecewa difitnah oleh individu tidak bertanggungjawab menerusi media sosial dengan mendakwa wujud ketikdaktelusan yang berlaku di hospital swasta berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chong May Lee berkata, dia hanya menyedari tuduhan tidak berasas itu termasuk terhadap dirinya melalui aplikasi WhatsApp sejak dua hari lalu, sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Melaka Tengah, semalam.
Menurutnya, laporan polis dibuat kerana dirinya turut dikaitkan dengan sebuah video berskandal politik yang berbaur fitnah dan telah tersebar di beberapa laman media sosial termasuk Facebook hingga menimbulkan pelbagai persepsi negatif netizen.
"Saya terkilan dengan sebuah video berbahasa Inggeris yang tular secara jelas memfitnah kepada diri saya, malah gambar saya juga disiarkan dalam video itu.
"Apa yang ditularkan tidak benar termasuk memfitnah wujud perjanjian yang tidak seimbang berlaku melalui Perjanjian Pengurusan dan Operasi di antara pusat hemodialisis tersebut bersama syarikat Intelek Ceria Sdn Bhd (ICSB), sedangkan Hospital Pakar Putra Melaka tiada sebarang kaitan dengan syarikat berkenaan," katanya.
May Lee berkata demikian kepada pemberita ketika sidang media berkenaan isu itu di Hospital Pakar Putra Melaka, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Kesihatan dan Antidadah, Low Chee Leong.
Katanya, sebelum ini, Hospital Pakar Putra Batu Pahat telah menandatangani sebuah perjanjian bersama ICSB sejak Januari 2016.
Menurutnya, 95 peratus saham hospital yang berlokasi di Johor itu telah dipindah milik kepada ICSB sejak dua tahun lalu dan pembayaran telah pun dibuat pada September 2018 sebelum beliau dilantik menjadi CEO hospital tersebut.
"Saya tegaskan ini adalah fitnah dan Hospital Pakar Putra Melaka tiada sebarang kepentingan atau kaitan dengan ICSB.
"Saya juga akan mendapatkan nasihat peguam dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang kepada individu yang menyebarkan video fitnah terbabit kerana menjejaskan nama baik hospital dan saya," katanya.
Sementara itu Chee Leong meminta orang ramai tidak terus menyebarkan video yang membawa maklumat palsu dan mereka boleh didakwa mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Hasutan 1948.
Difahamkan video berdurasi 10 minit itu mengaitkan May Lee yang merupakan CEO kepada syarikat itu mempunyai kaitan dengan pemilikan sebuah pusat hemodialisis di Seremban.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!