[VIDEO] Zahidi masuk PH tidak gugat Kerajaan Perpaduan

Zahidi (kanan) dalam program Sinar Live ‘Kenapa Pilih PH’ dihoskan oleh Hazwan Mokhtar yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Khamis. - FOTO : HALIM WAHID
Zahidi (kanan) dalam program Sinar Live ‘Kenapa Pilih PH’ dihoskan oleh Hazwan Mokhtar yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Khamis. - FOTO : HALIM WAHID
A
A
A

SHAH ALAM – Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin yakin keputusannya untuk menyertai Pakatan Harapan (PH) tidak akan mengganggu-gugat keharmonian gabungan berkenaan yang kini membentuk kerajaan bersama UMNO.

“Saya adalah pemimpin kecil sahaja dan tidak pernah pegang jawatan besar di peringkat nasional tapi kalau bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, beliau berpotensi menjadi Perdana Menteri, jadi kalau dia masuk PKR, mungkin Rafizi pun rasa ini satu cabaran.

“Jadi kalau ‘Datuk Zahidi’ tiada masalah, saya tiada cita-cita nak jadi yang atas-atas ini,” selorohnya.

Beliau berkata demikian dalam program Sinar Live ‘Kenapa Pilih PH’ dihoskan oleh Hazwan Mokhtar yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Khamis.

“Kalau timbul masalah di peringkat bahagian atau negeri, saya dapat tahu apabila nak masuk PKR ini pemimpin perlu berbincang, tapi kalau Amanah (Parti Amanah Negara) mereka bersedia untuk menerima saya.

“Jadi saya tengok yang mana mudah, yang tak timbul masalah, sebab saya nak cari wadah perjuangan bersama.

“PH dengan UMNO ini cukup baik dan saya dapat bersama tanpa menjadikan ahli UMNO sebagai ‘mangsa’ pemecatan terutama yang menyokong saya,” katanya.

Zahidi dalam pada itu turut mengakui 2,000 ahli dari cawangan-cawangan UMNO di peringkat bahagian ingin mengikut jejak langkahnya berhijrah ke parti lain

“Saya maklumkan kepada mereka saya tak mahu pegang jawatan kita sokong pemimpin sedia ada jadi kalau tidak bertanding pun tiada masalah sebab kita dah berkhidmat selama 25 tahun jadi ketua.

“Kalau perlu khidmat saya, pengalaman saya, saya akan terus beri sumbangan,” ujarnya.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli sebelum ini berkata, parti itu akan berbincang terlebih dahulu jika ada pemimpin UMNO yang dipecat mahu menyertai mereka.

Ini termasuklah menjawab desas desus bahawa Khairy Jamaluddin turut akan menyertai parti itu selepas Zahidi mengesahkan akan menyertai parti itu selepas dipecat UMNO baru-baru ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!