Lelaki OKU ditemui rentung dalam bilik
BENTONG - Seorang lelaki warga emas yang juga orang kurang upaya (OKU) ditemui rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Pelantar, di sini pada Khamis.
Mangsa, Mohd Yusof Idris, 65, dijumpai di dalam bilik dalam keadaan terlentang di tepi tingkap rumah tersebut.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Pahang), Ismail Abdul Ghani berkata, pihak bomba menerima panggilan pada jam 9.02 malam mengenai kejadian tersebut.
Menurutnya, seramai 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Karak dengan bantuan BBP Bentong bersama dua jentera pemadam dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke tempat kejadian.
"Pemadaman menggunakan dua aliran air dari tangki jentera dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat seorang lelaki dewasa meninggal dunia.
"Kebakaran melibatkan sebuah rumah separuh kekal berkeluasan 20 x 60 kaki persegi dengan kemusnahan 90 peratus," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Ujar beliau, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Mangsa dipercayai tinggal berseorangan di rumah tersebut kerana tidak pernah berkahwin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!