Bukan salah Liga-M
SAINGAN Liga Malaysia (Liga-M) tidak boleh dipersalahkan sebagai punca menyebabkan pemain import berkualiti tidak mahu beraksi di negara ini.
Jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, pasaran pemain import dalam industri bola sepak sangat luas dan kelab perlu bijak menilai serta mencari pemain berkualiti.
“Kelab perlu ada networking yang bagus sekiranya mereka nak cari import yang berkualiti. Jika seorang pemain tak nak datang bermain dalam Liga-M, sudah tentu ada ramai lagi pemain import bagus yang mahu bermain di sini.
“Pasaran pemain import itu besar dan ia sama ada kelab itu pandai atau tidak mencari pemain yang bagus, selain setinggi mana bayaran yang mahu ditawarkan kepada pemain tersebut.
“Lihat bagaimana JDT (Johor Darul Ta'zim) membentuk pasukan yang bagus sehingga mereka dapat membeli pemain import terbaik seperti Bergson da Silva dan beberapa pemain lain.
“Sebagai kelab yang beraksi dalam saingan liga, mereka tidak boleh menyalahkan liga sebagai punca pemain import bagus tak nak datang. Mereka perlu cari cara mengatasinya, bukan beri alasan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon menyifatkan Liga-M kurang dikenali sehingga sukar kelab-kelab di negara ini untuk mendapatkan pemain import yang berkualiti.
Mengulas lanjut, Mohd Azraai yang pernah membimbing beberapa pasukan tempatan tidak menganggap Liga-M kurang dikenali, sebaliknya telah mengalami peningkatan ketara berbanding 10 tahun lalu.
“Kalau nak dibandingkan Liga-M dengan beberapa liga di negara ASEAN, saya melihat liga kita lebih menonjol. Pasukan pun saya lihat telah mempunyai pemain tempatan yang berkualiti.
“Jadi, ia perlukan masa untuk liga kita lebih ke hadapan, apatah lagi baru sahaja beberapa tahun liga diswastakan. Tak boleh nak harapkan sempurna terus.
“Liga kita memerlukan lebih banyak pasukan sehebat JDT jika ia mahu lebih dikenali. Justeru, nasihat saya adalah berhenti merungut dan buat kerja,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!