Kekal harga nasi lemak, roti canai RM1
ALOR GAJAH - Meskipun berdepan dengan kenaikan mendadak kos barangan ketika ini, namun sebuah kedai makan di Batu 8, Gangsa di sini, masih mengekalkan harga menunya.
Pemilik Warung Double Line Corner, Baharam Yahya, 55, berkata, sekarang bukanlah masa sesuai untuk menaikkan harga menu makanan di saat orang ramai terutama golongan B40 dihimpit dengan kenaikan harga barang.
Menurutnya, disebabkan masih mengekalkan harga RM1 seperti roti canai dan nasi lemak bungkus kedai yang terletak di tepi jalan dan diusahakan bersama isterinya Faridah Omar, 50, sentiasa menjadi tumpuan ramai terutama pada waktu pagi termasuk golongan pelajar.
Malah katanya, juga disediakan menu nasi goreng, mi goreng dan bihun goreng yang dijual dengan harga RM3 sepinggan dan terpulang kepada pelanggan sama ada mengambilnya dalam kuantiti banyak atau sedikit.
"Semua makanan goreng sedia ada kami caj dengan harga RM3 sepinggan dan tak kisah berapa banyak mereka nak ambil tetap dikira RM3 yang diambil pelanggan secara buffet.
"Cuma masakan goreng panas seperti bihun goreng panas kami tetapkan harga RM4.50 sepinggan manakala lontong RM4 dan soto RM4.50 semangkuk," katanya yang berasal dari Durian Tinggal, Melaka.
Tambahnya, kedai yang beroperasi setiap hari kecuali hari Ahad itu dibuka pada jam 7 pagi dan dianggarkan menerima hampir 100 orang pelanggan setiap hari.
"Selain sarapan pagi kami juga sediakan lauk pauk untuk tengah hari dan jika mengambil nasi putih berserta ayam atau ikan goreng serta sayur kami caj dengan harga RM3 sepinggan.
"Alhamdulillah jatuh bangun sejak 1998 ditambah dengan dugaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kami masih dapat mengekalkan harga sedia ada sehingga sekarang.
"Kami berniaga sambil bersediakah sebab pelanggan kami terdiri daripada pelbagai latar belakang dan pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ramai datang makan di sini," katanya yang mengusahakan perniagaan itu sejak 1998.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!