Derita jantung terbalik, Adam impi mahu kembali ke sekolah

Abdul Rahman (tengah) menyuapkan susu ke dalam mulut Adam yang bergantung kepada mesin oksigen sambil diperhatikan Irin (kanan).
Abdul Rahman (tengah) menyuapkan susu ke dalam mulut Adam yang bergantung kepada mesin oksigen sambil diperhatikan Irin (kanan).
A
A
A

PONTIAN - Keinginan Mohd Adam Amsyar 11, yang mahu ke sekolah seperti rakan seusianya sejak sebulan lalu tertangguh berikutan dia perlu menggunakan mesin oksigen bagi bernafas.

Kisah Mohd Adam yang menghidap penyakit jantung terbalik atau mitral atresia di Kampung Parit Haji Ahmad di sini pernah tular sebelum ini.

Selepas ibunya meninggal dunia dua tahun lalu, Mohd Adam yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik kini dijaga sepenuhnya oleh ayah, Abdul Rahman Ahmad, 49.

Abdul Rahman berkata Adam kini bergantung sepenuhnya kepada mesin oksigen selepas dia terjatuh di bilik air pada awal bulan lalu.

"Selepas terjatuh, badannya berubah menjadi kebiruan dan tercungap-cungap hendak bernafas. Dengan bantuan jiran, Adam di bawa ke Hospital Pontian sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI).

"Adam ditahan selama dua minggu di HSI dan seminggu di Hospital Pontian sebelum dibenarkan pulang ke rumah pada minggu lepas," katanya.

Jelas Abdul Rahman, Adam kini memerlukan penjagaan rapi kerana tahap oksigen di dalam badannya perlu dipantau setiap masa, selain bergantung kepada susu formula khas sebagai sumber makanan tambahan.

"Lepas pulang ke rumah, Adam beritahu hendak ke sekolah. Saya cuma minta dia bersabar dan beritahu akan usahakan untuk dia ke sekolah.

Abdul Rahman (kiri) membetulkan saluran oksigen Adam di rumahnya di Kampung Parit Haji Ahmad, Pontian.
Abdul Rahman (kiri) membetulkan saluran oksigen Adam di rumahnya di Kampung Parit Haji Ahmad, Pontian.

"Adam perlu sebuah lagi mesin oksigen di sekolah sebab dia bergantung sepenuhnya kepada mesin ini. Sekarang ini cuma ada satu mesin sahaja di rumah itu pun dipinjamkan oleh badan sukarelawan Ihsan Johor," katanya ketika ditemui di rumahnya pada Khamis.

Abdul Rahman berkata, untuk menyara keluarga, dia mengambil upah memotong rumput dan membantu peniaga ayam di pasar Benut.

"Anak sulung Irin Nadiya 13, yang akan memulakan sesi persekolahan baharu pada bulan Mac ini masih belum buat apa-apa persiapan, baju sekolah pun belum beli lagi.

"Saya harap dapat gembirakan Irin sebab dia banyak bantu saya jaga Adam, tetapi buat masa sekarang perbelanjaan banyak ditumpukan kepada Adam," katanya.

Sehubungan itu, Abdul Rahman agar ada pihak yang membantunya mendapatkan sebuah lagi mesin oksigen bagi membolehkan anaknya ke sekolah secepat mungkin.

"Saya bersyukur kerana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada menyalurkan bantuan asnaf RM250 sebulan manakala Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) juga ada menyalurkan bantuan," katanya.

Pada Disember 2021, Adam pernah mencuri tumpuan apabila dia bertemu Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Tunku Ibrahim di Stadium Sultan Ibrahim Iskandar Puteri selepas dibawa bersiar di Taman Tema Legoland.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!