Cegah penempatan haram PATI elak mudarat

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

ISU penempatan haram kembali 'panas' apabila terbongkarnya penempatan warga asing di Nilai Spring, Nilai, Negeri Sembilan selepas diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada Rabu.

Lebih mengejutkan lagi apabila penempatan itu dipercayai mempunyai pelbagai kemudahan lain antaranya kedai runcit dan sekolah.

Warga asing yang mendiami perkampungan berkeluasan 29,000 meter persegi atau kira-kira dua padang bola itu juga didapati menggunakan generator untuk bekalan elektrik selain terdapat 30 struktur rumah kayu meliputi tempat kediaman, stor kecil dan sekolah yang mempunyai silibus dari negara jiran.

Perkara itu mendapat perhatian daripada kerajaan Negeri Sembilan yang menyatakan tidak akan berkompromi dengan sebarang isu keselamatan terutama membabitkan warga asing dengan bertindak menceroboh tanah sama ada milik persendirian mahupun kerajaan untuk dijadikan penempatan haram.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, semua pihak termasuk agensi penguat kuasa seperti Jabatan Imigresen Negeri Sembilan (JIMNS), polis dan pihak berkuasa tempatan perlu mengambil tindakan segera selain memantau semua kawasan berisiko bagi memastikan kes tidak berulang.

Sebelum ini media melaporkan JIMNS pada Rabu menahan 67 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia terdiri daripada 11 lelaki dan 20 wanita dewasa, serta 36 kanak-kanak termasuk bayi berumur dua bulan di sebuah penempatan haram di Nilai Spring yang dipercayai beroperasi sejak lebih dua tahun.

Sudah tentu penempatan haram seperti itu memberi kesan kepada masyarakat dan negara pada masa akan datang.

Ini kerana memindahkan warga asing yang sudah menetap terlalu lama di penempatan haram itu akan menjadi lebih susah apabila penempatan itu semakin membesar dan sukar dikawal sekiranya dibiarkan.

Bukan sahaja isu keselamatan diceroboh malah jika dibiarkan ia menyebabkan pelbagai kemudaratan antaranya isu kesihatan, masalah sosial dan juga kesan kepada ekonomi setempat sekiranya kawasan itu dipenuhi warga asing.

Penempatan haram itu juga akan menimbulkan kegusaran kepada orang awam terutama isu kebersihan kerana kawasan yang tidak diselia itu akan meninggalkan sampah sarap selain menimbulkan suasana yang kurang menyenangkan.

Justeru, tindakan undang-undang yang lebih tegas harus dikenakan kepada warga asing yang terlibat bagi memberi pengajaran dan peringatan kepada mereka agar tidak sesekali berani mendirikan penempatan tanpa sebarang kelulusan.

Peranan semua pihak khususnya pihak berkuasa untuk kerap melakukan pemantauan dan serbuan di kawasan yang didapati mencurigakan bagi mengelakkan berulang lagi kejadian sedemikian.

Sekiranya tidak ditangani dengan segera, lama-kelamaan kawasan yang diceroboh itu semakin membesar dan dipenuhi warga asing sekali gus bakal memberi kesan lebih buruk pada masa akan datang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!