Kes cubaan rogol libat Greenwood digugurkan
PERTUDUHAN cubaan merogol dan melakukan serangan yang dikenakan terhadap penyerang Manchester United, Mason Greenwood telah digugurkan oleh pendakwa raya, kata polis British pada Jumaat.
Crown Prosecution Service (CPS) berkata, penarikan diri saksi utama dan bukti baharu yang terbongkar adalah faktor kes terhadap Greenwood digugurkan.
Dalam satu kenyataan ringkas, pemain berusia 21 tahun itu berkata: "Saya lega kerana perkara ini sudah selesai dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga, orang tersayang dan rakan-rakan atas sokongan mereka.
"Tidak akan ada ulasan lanjut buat masa ini," katanya.
Penyerang itu menghadapi satu pertuduhan cubaan merogol, tingkah laku paksaan dan satu pertuduhan serangan yang menyebabkan kecederaan terhadap pengadu sama.
"Dalam kes ini gabungan penarikan saksi utama dan bahan baharu yang terbongkar bermakna tidak ada lagi prospek pensabitan yang realistik," kata CPS dalam satu kenyataan.
"Dalam keadaan ini, kami bertanggungjawab untuk menghentikan kes itu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!