'Tetap bayar bil air walau tak dapat air bersih'

Penduduk Mohd Noor Fazley Hussein, 32, menggunakan air tadahan hujan ekoran air tandak bukit menjadi keruh dan berkeladak. - Foto: Bernama
Penduduk Mohd Noor Fazley Hussein, 32, menggunakan air tadahan hujan ekoran air tandak bukit menjadi keruh dan berkeladak. - Foto: Bernama
A
A
A
GUA MUSANG - Seramai 150 penduduk Desa Seri Mutiara dari Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Renok Baru di sini terpaksa menadah air hujan selain menggunakan air bukit yang ditandak berikutan tidak dapat menikmati bekalan air bersih sejak dua tahun lepas.

Penduduk mendakwa meskipun dipasang meter dan dilengkapi sistem perpaipan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), namun mereka tetap perlu membayar bil air berkenaan walaupun tidak menggunakan air bersih daripada syarikat berkenaan.

Penduduk, Mohd Noor Fazley Hussein, 32, berkata, mereka bukan sahaja dikenakan caj oleh AKSB, malah turut membuat bayaran tabung setiap bulan kepada bendahari di kampung tersebut bagi tujuan penyelenggaraan air tandak.

Penduduk mendakwa tetap perlu membayar bil air berkenaan walaupun tidak menggunakan air bersih daripada AKSB.
Penduduk mendakwa tetap perlu membayar bil air berkenaan walaupun tidak menggunakan air bersih daripada AKSB.



"Sebelum ini kami dapat menggunakan air bersih daripada AKSB tetapi sejak dua tahun lalu air paip mula tiada dan kami terpaksa menggunakan air tandak.

"Malah, kami juga terpaksa berjalan sejauh empat kilometer (km) untuk ke kawasan sungai sekiranya paip air tandak terbabit tersumbat atau mengalami kebocoran," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Desa Seri Mutiara, RKT Renok Baru di sini pada Jumaat.

Bagi Rahmah Abdul Rahman, 68, pula berkata, keadaan menjadi lebih teruk apabila hujan berlaku kerana air tandak menjadi keruh dan ada kalanya paip air tandak tersumbat dengan lumpur.

"Berasa sangat sedih apabila anak-anak yang pulang ke kampung terpaksa bawa semula pakaian kotor mereka untuk dibasuh di rumah mereka kerana air di sini keruh dan terpaksa menunggu air tandak kembali jernih untuk dicuci," katanya.

Sementara itu, AKSB menerusi kenyataannya pada Jumaat memaklumkan, siasatan yang dijalankan mendapati beberapa punca berlaku seperti kedudukan kawasan yang hujung dengan paip agihan, terdapat pihak tidak bertanggungjawab mengusik, mengganggu atau mengubah kawalan injap di beberapa kawasan sehingga air tidak mengalir ke kawasan berbukit termasuk rumah pengadu.

"Selain itu, kekurangan bekalan dan tekanan air serta keadaan muka bumi yang berbukit dan jalan kampung menyebabkan penghantaran air melalui lori tangki tidak dapat dilakukan.

"Oleh itu, tindakan segera telah diambil seperti membetulkan semula kedudukan injap yang diganggu bagi memastikan keadaan injap dan saliran air kembali kepada keadaan yang sepatutnya," menurut kenyataan itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!